Belum ada tarikh khusus bentang sempadan baru SPR
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan belum memutuskan tarikh sebenar untuk membentangkan laporan kajian persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di parlimen.
Menurut Zahid, buat masa ini anggota Dewan Rakyat masih membahaskan titah diraja sedang dibahaskan.
Selepas itu katanya Dewan Rakyat akan mendengar sesi jawapan daripada menteri-menteri diikuti pembentangan akta-akta baru.
Bagaimanapun, naib presiden Umno itu memberitahu, selaku ketua whip beliau akan berbincang dengan Datuk Seri Najib Razak serta Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia untuk memutuskan tarikh sesuai laporan SPR itu dibentangkan.
"Saya sebagai ketua whip BN akan berbincang dengan perdana menteri dan speaker bilakah tarikh pembentangan persempadanan semula pilihan raya (akan dibuat)," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di ibu negara hari ini.
Semalam, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah selesai melaksanakan kajian persempadanan semula kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Semenanjung Malaysia, sekaligus membawa petanda parlimen negara itu bakal dibubarkan untuk pilihan raya dalam masa terdekat.
Pengerusinya, Mohd Hashim Abdullah memberitahu, laporan akhir kajian itu telah diserahkan kepada Perdana Menteri Najib Razak untuk tindakan beliau seterusnya.
Tambah beliau, dengan penyerahan laporan akhir tersebut tanggungjawab SPR dalam persempadanan semula telah berakhir seperti ditetapkan Perlembagaan Persekutuan.

