TPM nasihat BERSATU patuh kehendak ROS
Apa saja tindakan diambil Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) ke atas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) adalah mengikut peraturan, selain perlembagaan parti terbabit.
Justeru Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata BERSATU yang dipengerusikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihat mengikut permintaan ROS seperyi menyerahkan dokumen yang diminta.
"Saya fikir tindakan yang dilakukan ROS untuk meminta supaya pihak kepimpinan BERSATU mengemukakan sepenuhnya (laporan) dari mesyuarat cawangan dan bahagian hingga ke himpunan agung mereka," katanya.
Namun kata menteri dalam negeri itu beliau tidak bercadang untuk campur tangan di dalam soal pentadbiran dan pengurusan ROS.
"Maka pada hemat saya BERSATU harus memenuhi syarat-syarat seperti termaktub di dalam perlembagaan mereka sendiri iaitu Perlembagaan BERSATU.
"Dan mengikut Akta Pertubuhan 1956, ROS hanya bertindak mengikut apa yang termaktub dalam perlembagaan BERSATU demi kepentingan ahli-ahli parti mereka sendiri," kata Zahid pada sidang media di ibu negara hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan ROS yang meminta BERSATU menyerahkan dokumen yang dikehendaki jabatan berkenaan.
Permintaan itu dibuat ketika Pakatan Harapan (HARAPAN) yang turut dianggotai BERSATU masih belum diberi lampu hijau untuk menjadi gabungan yang berdaftar.
Kegagalan menyerahkan laporan seperti dikehendaki ROS boleh menyebabkan ROS mengeluarkan notis pembubaran ke atas BERSATU.
BERSATU diberi tempoh selama 30 hari - mulai 28 Feb lalu - untuk memenuhi arahan ROS berkenaan.
Menurut Ketua Pengarah ROS Surayati Ibrahim berkata walaupun keperluan minimum menurut Seksyen 14(3) Akta Pertubuhan adalah tujuh hari, mereka memberikan tempoh masa yang lebih panjang iaitu 30 hari.
Menurut Surayati lagi, notis yang dikeluarkan mengikut Seksyen 14(2) Akta Pertubuhan 1996 dan berkuat kuasa pada 28 Februari lepas, telah diserahkan kepada Setiausaha Agung BERSATU Datuk Shahruddin Md Salleh.
Notis dikeluarkan itu adalah suatu notis statutori berdasarkan kuasa menurut Akta Pertubuhan.

