Kerajaan Barisan Nasional (BN) akan memastikan pembangunan di Pagoh diteruskan sekiranya diberi mandat sekali lagi di kawasan Parlimen berkenaan pada pilihan raya umum akan datang, kata Datuk Seri Najib Razak hari ini.

Mengulangi komitmennya, perdana menteri yang juga pengerusi BN berkata, pelaksanaan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) misalnya, antara pembangunan yang akan membawa perubahan besar kepada Pagoh dengan limpahan ekonomi khususnya.

“HSR akan melalui kawasan ini (Pagoh). Bererti Pagoh akan melalui perubahan besar (pada masa hadapan),” kata beliau ketika berucap di hadapan kira-kira 20,000 jentera Pemuda dan Puteri BN di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara di Pagoh, dekat Muar hari ini.

Hadir sama pengerusi BN Johor dan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pergerakan Puteri Umno Datuk Zahida Zarik Khan, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas dan pemangku Ketua Umno bahagian Pagoh Ismail Mohamed.

Najib berkata demikian sebelum merasmikan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN peringkat kebangsaan.

Najib yang juga presiden Umno turut meminta masyarakat di Pagoh agar tidak bimbang dengan pemimpin BN di Pagoh yang boleh mewakili mereka di kawasan Parlimen itu.

“Selagi ada parti, kita boleh teruskan perjuangan. Jangan bimbang, bumi Pagoh ini, ada yang lain (pemimpin) boleh tampil ke hadapan. (Datuk Seri) Mohamed Khaled ini boleh bantu, saya juga boleh bantu, Pagoh akan tetap maju ke hadapan. Kalau tiada parti, nak buat apapun tak boleh,” katanya.

Beliau berkata sekiranya tiada parti seperti BN yang mewakili rakyat di kawasan Parlimen itu, agak sukar untuk sebarang pembangunan atau peruntukan dapat diluluskan atau disalurkan.

Sebelum ini, perdana menteri pernah menegaskan Umno dan BN akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh pada pilihan raya umum ke-14 akan datang.

Pada PRU13, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang pada itu merupakan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, telah mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 12,842 undi, mengalahkan lawannya daripada PAS Mohd Rozali Jamil.

Muhyiddin kini presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.