Laungan sayap BN: Ayuh ayuh BN, luaskan kuasamu
Laungan “Bersama Gempur” bergema hari ini, memaparkan jiwa kental dan semangat jitu jentera Pemuda dan Puteri Barisan Nasional (BN) untuk ‘berperang’ menangani pelbagai dakyah pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Jelas terpancar mereka menjiwai sedalam-dalamnya amanat Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dan Pengerusi Pemuda BN Khairy Jamaluddin ketika merasmikan Himpunan Jentera Pemuda dan Puteri BN peringkat kebangsaan di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh hari ini.
Selain “Bersama Gempur”, mereka turut melaungkan “Ayuh Ayuh BN, Luaskan Kuasamu BN” bagi memastikan BN terus mendapat mandat pada PRU14.
Pada himpunan itu, turut diperkenalkan program Jelajah Briged Gempur BN yang diwujudkan pada pertengahan Januari lalu iaitu sebahagian daripada persediaan menyeluruh dalam memenuhi sasaran BN memenangi dua pertiga daripada keseluruhan kerusi Parlimen yang dipertandingkan dalam PRU14 nanti.
Menurut anggota Puteri BN Sarawak, Nur Ainaa Ameera Abdullah, 33, beliau terpanggil untuk menghadiri perhimpunan berkenaan kerana ingin menyatakan sokongan dan menzahirkan keyakinan terhadap keupayaan BN mentadbir negara.
"Saya berpuas hati dengan kepimpinan Datuk Seri Najib, walau apa pun yang terjadi saya tetap sokong BN… Insya-Allah kemenangan akan berpihak kepada BN," katanya.
Nur Fadzleen Mohd Fadzli, 18, yang baru mendaftar sebagai anggota Puteri UMNO Kempas, Johor berkata beliau hadir bagi membuktikan sokongannya kepada kerajaan BN.
“Sejak BN memerintah terutamanya di zaman PM Najib, banyak pembangunan dan kemudahan dilakukan dan ia harus dikekalkan demi kesejahteraan rakyat,” katanya.
Sementara itu, penduduk Pagoh, S. Magesparan berkata beliau memang sentiasa menyokong kerajaan BN yang prihatin terhadap nasib orang yang kurang berkemampuan seperti dirinya.
Magesparan, 58, berkata walaupun pelbagai taktik dilakukan pembangkang untuk meraih sokongan namun ia tidak pernah sesekali mengugat kesetiaannya kepada BN.
Tew Ah Kau, 75, pula menyifatkan kerajaan BN cukup peka akan kebajikan dan keperluan warga emas sepertinya.
Dengan bantuan bulanan sebanyak RM350 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, ia sekali gus dapat menampung keperluan seharian, katanya.
- Bernama

