Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Tiada lagi pencerobohan di Sabah'
Diterbitkan:  Mar 11, 2018 10:39 PM
Dikemaskini: 2:45 PM

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak akan sesekali membenarkan bumi Sabah diceroboh dan diganggu gugat oleh sesiapa sahaja, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata kerajaan memberi jaminan akan terus mempertahankan Sabah dan ia adalah komitmen besar kerajaan persekutuan kepada negeri ini.

"Kerajaan tidak akan membenarkan walau seinci pun tanah di Sabah ini diceroboh...selagi saya diberi amanah sebagai Menteri Pertahanan, saya bersama warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan pastikan keselamatan dan keamanan Sabah terus terpelihara.

"Sebab itu pengalaman yang kita lalui semasa insiden pencerobohan di Lahad Datu merupakan sandaran untuk terus mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah," katanya.

Beliau berkata pada sidang media selepas menyaksikan Demonstrasi Keupayaan ATM di Lapangan Udara di Kota Belud hari ini.

Rancangan khusus kerajaan untuk Sabah

Hadir sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohammed Noor.

Hishammuddin berkata kerajaan persekutuan mempunyai perancangan khusus untuk mempertingkatkan tahap keselamatan di Sabah.

"Kementerian Pertahanan seperti yang dijanjikan dalam Manifesto BN pada pilihan raya umum ke-13 telah pun bekerjasama dengan agensi lain untuk memperkukuhkan kesalamatan di Sabah khususnya di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone)...apa perancangan yang telah dijanjikan oleh pihak pembangkang? Mereka hanya timbul bila musim pilihan raya," katanya.

Katanya, apa yang kerajaan telah janjikan adalah realistik dan bukan retorik semata-mata.

"Oleh itu jangan terpangaruh dengan tuduhan pihak tertentu yang mengatakan kononnya kerajaan mengabaikan keselamatan Sabah. Dalam soal keselamatan kita tidak pernah kompromi," tegasnya.

Task Force 450

Beliau berkata pelbagai usaha telah kerajaan lakukan untuk memperkukuhkan tahap keselamatan di Sabah sejak berlakunya pencerobohan di Lahad Datu beberapa tahun lepas.

"Bagi Tentera Darat antaranya kita telah menubuhkan Task Force 450 di Kota Belud, menubuhkan 13 Briged Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di Felda Sabahat, menubuhkan 31 Briged Sempadan bagi menambah keberkesanan sempadan daratan diantara Sabah, Sarawak dan Kalimantan dan menempatkan empat buah helikopter pemerhati ringan jenis Agusta di bawah Pasukan Detasmen 881 Skuadron Pasukan Udara Tentera Darat di Kem Sandakan,” katanya.

"Untuk Tentera Laut, kerajaan telah menubuhkan Pemerintahan Armada Timur bagi menambahkan keupayaan penugasan operasi mengawal perairan dan membina dua Markas Pangkalan Laut iaitu Pangkalan Laut Tun Azizan di Sandakan dan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di Lahad Datu," katanya.

Hishammuddin berkata untuk Tentera Udara pula kerajaan telah menempatkan skuadron pesawat pejuang Hawk dan empat buah helikopter EC-725 di Pangkalan Udara Labuan, selain akan menaik taraf lapangan terbang Lahad Datu sebagai pangkalan operasi hadapan untuk helikopter milik ATM.

Mengulas mengenai demonstrasi keupayaan ATM itu, beliau berkata ia melibatkan aset ATM daripada ketiga-tiga cabang ATM iaitu udara, darat dan laut yang ditempatkan di Sabah.

"Demonstrasi ini bertujuan untuk memperlihatkan tahap keupayaan dan sesiapsiagaan aset ATM dalam melaksanakan misi serta berhadapan dengan apa juga bentuk ancaman," katanya.

Beliau berkata berdasarkan demonstrasi itu, kesiapsiagaan anggota dan aset ATM berada dalam keadaan siap siaga di paras prestasi tinggi untuk berhadapan pelbagai bentuk ancaman.

-Bernama

Lihat Komen
ADS