Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid membidas guru yang menyokong Pakatan Harapan tetapi mahu menjadi pengetua sekolah.

"Ada dua, tiga orang bermasalah. Sokong Harapan, Bersatu, beria-ia benar. Ada pakai baju macam tu (Harapan), tulis pula di bawah tu (media sosial).

"Selepas itu pergi ambil Program Kelayakan Profesional Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan (NPQEL).

"NPQEL untuk jadi guru besar, macam mana kamu dengan kerajaan?" Beliau dipetik berkata demikian oleh Sinar Harian dalam suatu majlis di Baling, Kedah hari ini.

NPQEL merupakan kelayakan yang perlu ada bagi menjadikan seseorang guru itu pengetua sekolah.

Mahdzir menggesa guru tidak berlebihan dalam penglibatan politik mereka.

"“Kamu nak jawatan, dalam masa kamu sokong, tunjuk dan hentam. Janganlah keterlaluan. Walaupun tidak ramai, tetapi ia ibarat nyamuk tepi telinga," kata beliau lagi.