Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) memaklumkan bekalan air di Klang, Shah Alam, Kuala Lumpur, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat telah 100 peratus pulih sepenuhnya.

Bagaimanapun, menurut SYABAS terdapat tiga kawasan yang masih lagi dalam proses pemulihan iaitu Taman Bukit Kuchai, Bandar Puchong Jaya dan Subang Jaya dari SS12 hingga SS19.

"Pihak kami mengambil segala usaha dan tindakan untuk meningkatkan tekanan dan aliran di kolam perkhidmatan serta sistem agihan bagi mempercepatkan proses pemulihan sepenuhnya di kawasan-kawasan yang berada di lokasi tinggi dan di penghujung sistem agihan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Selasa lepas, SYABAS memaklumkan gangguan bekalan air di seluruh Kuala Lumpur dan enam kawasan di Selangor ekoran kerja-kerja pembaikan ke atas Sistem Mampatan Udara (Surge Vessel System) yang pecah di Sungai Selangor Fasa 3.

Bagaimanapun, pemulihan bekalan berkenaan tersasar daripada jangkaan akhirnya apabila Sistem Mampatan Udara di SSP3 gagal berfungsi dengan baik dan menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100mm rosak dengan dua daripadanya pecah dan terpelanting keluar daripada strukturnya.

Hal tersebut menyebabkan 427 kawasan di sekitar Lembah Klang antaranya Shah Alam, Klang, Petaling, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat terganggu proses pemulihan bekalan.