Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamed Fuzi Harun menunjukkan “sindrom penafian” apabila berkata siasatan Malaysia tidak dapat mengaitkan ahli perniagaan Jho Low dengan 1MDB, kata Lim Kit Siang.

Lim berkata, Fuzi yang bergantung kepada Jabatan Kira-kira Wang Negara (PAC) dan siasatan polis, berada dalam penafian terhadap fakta-fakta Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat (AS), laporan media asing dan tindakan-tindakan dalam bidang kuasa lain.

Lim berkata, laporan PAC adalah “salah” kerana tidak mengandungi sebarang rujukan kepada Low walaupun “seluruh dunia tahu” kaitannya dengan 1MDB.

Nama Low banyak disebut dalam pemfailan asal DOJ setebal 251 muka surat untuk meyita aset berkaitan 1MDB di AS.

Aset-aset itu disiasat atas kesalahan pengubahan wang haram.

Nama hartawan kelahiran Pulau Pinang itu juga disebut dalam prosiding jenayah di mahkamah Singapura melibatkan bekas pegawai bank yang berdepan hukuman penjara dan denda dalam beberapa pertuduhan.

Oleh sebab itulah, bagi Lim, Fuzi menghadapi sindrom penafian.

“Adakah (sindrom penafian) kedudukan yang diperlukan oleh kesemua penjawat-penjawat awam atasan di Malaysia sama ada polis, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara, kehakiman dan malah speaker parlimen?” soal Lim.

Pada 7 Mac lalu, Fuzi berkata siasatan polis berdasarkan dapatan PAC mendapati Low tidak bekerja dengan 1MDB atau terlibat dalam keputusan syarikat itu.

Kata Fuzi, kesemua keputusan dibuat oleh anggota lembaga pengarah 1MDB.

Beliau berkata demikian ketika pihak berkuasa tempatan dilihat tidak berminat terhadap Low walaupun Indonesia telah pun merampas kapal layar mewah Equanimity yang dikaitkan dengan bilionair itu.

[Baca berita asal]