Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri jangan ingat dia pandai sangat, bidas Muhyiddin

Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membidas kenyataan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang memberi amaran akan mengambil tindakan terhadap pihak yang menyiarkan berita palsu berkaitan 1MDB.

Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) itu berkata, tindakan kerajaan dilihat ingin menyekat kebebasan rakyat dalam sebuah negara demokrasi.

"Ini negara demokrasi, rakyat bebas bersuara. Jangan guna dalih berita palsu.

"Kalau kita di Malaysia tak boleh nyatakan sesuatu maka hak rakyat bersuara dah hilang. Negara tak bebas," katanya pada sidang media di ibu pejabat BERSATU di Petaling Jaya.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menterinya Datuk Seri Jailani Johari untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang terus menyiarkan berita palsu terutamanya berkaitan 1MDB sehingga menimbulkan fitnah.

"Menteri kena ingat, dia bukan pandai sangat. Kadang-kadang berita palsu bukan dari kita, yang dikatakan berita palsu dari sana (kerajaan) sebab mereka tak ada cara nak sangkal dakwaan yang dikemukakan pihak berintegriti," kata Muhyiddin.

Terdahulu, Jailani berkata kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kini sedang memantau perkara berkenaan.

"Dalam usaha kerajaan menangani gejala fitnah dan berita palsu dalam negara, kita dapati beberapa isu turut disemarakkan oleh sumber-sumber dari luar negara.

"Terbaru, dalam usaha mencemar dan menjatuhkan kredibiliti Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) kementerian telah mengenal pasti beberapa portal berita dalam talian yang telah menyemarakkan kembali isu 1MDB, susulan rampasan sebuah kapal layar mewah oleh pihak berkuasa negara tetangga," kata Jailani.

Isu 1MDB kembali rancak diperkatakan susulan rampasan kapal mewah Equanimity di Bali oleh pihak berkuasa Indonesia dengan kerjasama Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat baru-baru ini.

Kapal milik jutawan dari Pulau Pinang, Jho Low berharga RM1 bilion itu merupakan antara aset yang dikehendaki oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) kerana didakwa diperoleh menerusi dana 1MDB yang diselewengkan.

Lihat Komen
ADS