Anwar gagal saman batal sabitan, hukuman liwat II
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membatalkan saman bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan penipuan berkaitan bukti dalam sabitan kes liwat II di mana beliau sedang menjalani hukuman penjara lima tahun.
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamed dalam keputusannya membenarkan permohonan mengketepikan saman oleh kerajaan itu.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas mendapati saman yang difailkan pada 17 April tahun lalu tidak mempunyai sebarang kausa yang munasabah, remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.
Ini, katanya selepas Anwar dibebaskan tetapi kemudian rayuan disabitkan kesalahan di Mahkamah Rayuan dan sabitan dan hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan.
Hakim juga memerintahkan Anwar membayar kos RM5,000.
Anwar memfailkan saman berhubung penipuan tersebut dalam satu lagi percubaan untuk dibebaskan dari penjara.
Beliau antara lain, memohon perintah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 7 Mac 2014 dan keputusan Mahkamah Persekutuan bertarikh 10 Februari 2015, berdasarkan keterangan palsu oleh pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Dalam pernyataan tuntutannya, Anwar mendakwa bahawa Mohd Saiful telah membuat sumpah bohong, yang diketahui oleh defendan adalah palsu, namun kerajaan bergantung kepada sumpah palsu dan memanfaatkan sumpah bohong itu untuk kelebihannya.
Anwar pada mulanya dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Januari 2012, tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan menjatuhi hukuman penjara lima tahun. Pada 10 Februari 2015, Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya dan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara.
Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan kerajaan Malaysia untuk membatalkan saman difailkan bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung dakwaan sabitan dan hukuman liwat ke atasnya dibuat berdasarkan penipuan dan keterangan palsu.
Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad mendapati saman Anwar selaku plaintif terhadap kerajaan yang dinamakan sebagai defendan tunggal tidak mendedahkan kausa tindakan munasabah, remeh dan menyusahkan serta menyalah guna proses mahkamah.
Nik Hasmat dalam penghakimannya berkata peguam negara mempunyai kuasa mutlak untuk memulakan pendakwaan ke atas sesiapa sahaja dan ia tidak harus dipersoalkan mengikut Artikel 145 Perlembagaan Persekutuan.
Mengenai isu terdapat penipuan dalam keterangan saksi pendakwaan, mahkamah mendapati isu itu tidak diberikan secara terperinci oleh pihak plaintif (Anwar).
“Mahkamah mendapati plantif tidak menamakan siapakah pegawai atau saksi defendan (kerajaan) yang telah didakwa memberi keterangan palsu di mahkamah? katanya, yang turut memaklumkan dakwaan itu boleh dijawab oleh defendan (kerajaan) jika plaintif menamakan butiran lanjut mengenai saksi yang didakwa terbabit dalam penipuan berkenaan.
Hakim itu berkata mahkamah juga mendapati adalah tidak tepat untuk mengaitkan sabitan dan hukuman liwat ke atas plaintif diperoleh berdasarkan penipuan.
“Ini adalah kerana semasa perbicaraan di Mahkamah Tinggi, plaintif (Anwar) didapati tidak bersalah dan dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan meliwat, tetapi dia didapati bersalah di peringkat Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
“Dakwaan bahawa terdapat penipuan semasa perbicaraan telah disalah anggap oleh plaintif,” jelas hakim itu dan memerintahkan Anwar membayar kos RM5,000 kepada kerajaan.
Peguam Kanan Persekutuan Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili kerajaan manakala Anwar, yang hadir pada prosiding hari ini, diwakili peguam N. Surendran, memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan merayu terhadap keputusan itu.
Dalam permohonan bertarikh 12 Mei 2017, kerajaan memohon saman bekas ketua pembangkang itu dibatalkan atas alasan ia menyalahgunakan proses mahkamah dan tiada kuasa tindakan yang munasabah selain mendakwa tindakan Anwar memfailkan saman adalah tidak sah mengikut Perlembagaan dan ia berbaur hasutan.
Anwar memfailkan saman itu pada 17 April 2017 dan memohon perintah supaya keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 7 Mac 2014 dan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 diketepikan atas sebab penipuan yang didakwa dilakukan oleh bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, iaitu saksi utama pendakwaan.
Katanya Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskannya, dan mensabitkan dan menghukumnya kepada penjara lima tahun dan Mahkamah Persekutuan seterusnya menolak rayuannya pada 10 Feb 2015 dan mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.
Anwar turut mendakwa Mohd Saiful telah memberi keterangan palsu di mahkamah yang diketahui defendan adalah tidak benar, namun defendan tetap bergantung kepada keterangan palsu itu untuk manfaat pihaknya.
Disebabkan penipuan itu, Anwar mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah terbatal dan tidak sah dan boleh diketepikan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan 1950 selain menuntut perintah mahkamah supaya dia dilepas dan dibebaskan daripada penjara.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

