Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS: Macam mana nak terima kalau Maria tak mohon

PAS berkata mereka terbuka terhadap sesiapa sahaja, termasuk bekas Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah, untuk menjadi calon Gagasan Sejahtera bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Bagaimanapun, kata timbalan presidennya Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Maria perlu memohon terlebih dahulu.

“Saya tidak terima permohonan daripada dia. Kita tengok permohonan dia (dulu). Macam mana kita nak terima kalau permohonan tidak ada.

“Kita bukan tengok (permohonan) Maria Chin sahaja, siapa-siapa sahaja sebab dalam Gagasan Sejahtera.

“Kita ada tiga komponen dalam (Gagasan Sejahtera), ada parti politik, NGO dan individu, dalam tiga itu ada hak untuk tentu masa depan negara,” katanya.

Tuan Ibrahim berkata demikian ketika ditanya mengenai mengenai tawaran anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mohd Suhaimi Embong kepada Maria untuk bertanding sebagai calon Gagasan Sejahtera.

Maria jawatan sebagai pengerusi BERSIH pada 6 Mac lalu atas alasan mahu bertanding mewakili kumpulan masyarakat sivil di Dewan Rakyat.

Beliau dalam perbincangan untuk bertanding menggunakan lambang HARAPAN.

Dalam sidang media di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur, Tuan Ibrahim berkata mereka terbuka menerima calon luar dengan syarat “jangan khianat rakyat” dengan melompat parti setelah menang.

Gagasan sejahtera juga, kata Tuan Ibrahim, menolak calon yang membawa “politik carca marba dan maki hamun”.

“Sebab itu dalam Gagasan Sejahtera, kita kemukakan budaya politik matang, cari penyelesaian untuk masalah negara,” katanya.

Lihat Komen
ADS