Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee: BERSATU akan gerakkan 'tsunami Melayu'

WAWANCARA | Sejumlah peristiwa berlaku sejak pendedahan berkaitan 1MDB di pentas antarabangsa, tetapi antara yang paling memberi kesan mungkin penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada kedudukan timbalan perdana menteri.

Ia diikuti dengan keluarnya bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad daripada Umno dan penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Kedua-dua peristiwa ini, menurut ahli baru parti itu Dr Maszlee Malik, adalah keadaan luar jangka yang membawa perubahan besar dalam politik negara.

"Pakatan Harapan (HARAPAN) bernasib baik dengan keadaan luar jangka ini.

"Tiada siapa yang menjangka akan muncul parti baru untuk mendapatkan undi Melayu dan memadamkan ketakutan dan rasa tidak selamat mereka (pengundi Melayu).

"BERSATU memainkan peranan untuk membolehkan atau memastikan kehadiran 'tsunami Melayu'," kata ahli akademik itu dalam wawancara bersama Malaysiakini.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan tokoh Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) itu merasakan sudah tiba masanya untuk beliau membuat perjudian besar dengan terjun ke dalam dunia politik.

"Mengapa BERSATU? Tidak penting parti mana, semuanya berada dalam HARAPAN. Akhirnya kita mempunyai matlamat, misi dan manifesto yang sama.

"Semua parti bekerjasama untuk mengukuhkan satu sama lain, tetapi ada yang menjadi (faktor) ke arah perubahan.

"Keputusan pilihan raya nanti adalah masa depan kita. Bolehkah kita meramal masa depan? Boleh, walau kita tidak mampu menjaminnya. Kita dapat membuat jangkaan dengan melihat masa lalu kerana ia membentuk masa kini dan masa akan datang," katanya.

Dalam PRU 2013, katanya, pembangkang masih belum mampu menang di sebalik sokongan daripada masyarakat Cina dan pengundi kelas pertengahan dan atas di bandar.

"Pembangkang menang undi popular tetapi berdasarkan sistem Westminster ia tidak cukup untuk menubuhkan kerajaan di peringkat persekutuan.

"Mengapa? Kerana majoriti pengundi Melayu terutama wanita dan mereka di luar bandar belum sedia untuk perubahan," katanya.

Beliau berkata kebimbangan orang Melayu terhadap ketidaktentuan dalam aspek survival dan kebajikan menyebabkan mereka tidak mengundi pembangkang.

"Kita boleh berdebat panjang tentang isu ini, tetapi hakikatnya ramai orang Melayu mempunyai tahap ekonomi yang lebih rendah berbanding kaum lain, dan ini mencetuskan rasa tidak selamat. Ini adalah hakikat dan anda tidak boleh menafikannya.

"Perasaan itu telah dimanipulasi regim hari ini dengan cara menakut-nakutkan (orang Melayu)," katanya lagi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS