Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Ini sebab WARISAN harus ketuai pembangkang di Sabah'

WAWANCARA I Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14, Sabah akan menyaksikan satu keadaan yang unik di mana Pakatan Harapan tidak akan menjadi gabungan utama bertanding dalam pilihan raya di negeri itu.

Pencabar utama BN adalah kemungkinan besar pakatan pilihan raya yang diketuai Parti Warisan Sabah (WARISAN), bersama-sama parti-parti komponen di bawah HARAPAN dan satu lagi parti pembangkang yang belum disahkan.

Memetik kenyataan pemimpin-pemimpin HARAPAN Sabah, Timbalan Presiden WARISAN, Darell Leiking berkata, adalah jelas bahawa HARAPAN mahukan WARISAN mengetuai pilihan raya umum di negeri itu.

"Pakatan adalah jelas bahawa mereka lebih suka kami mengetuai pilihan raya ini. Kami setuju dengan mereka dan pasti akan cari resolusi yang baik antara HARAPAN dan kami," katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual.

Hubungan antara parti-parti itu, kata Leiking, berjalan lancar.

Beliau juga berkata hubungan antara Presiden WARISAN, Datuk Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong adalah baik dan menafikan berlaku perselisihan faham.

Sebelum ini Pengerusi HARAPAN Sabah, Christina Liew berkata Wong keliru apabila mengumumkan formula pengagihan kerusi 60:40.

Liew (gambar) menjelaskan formula itu tidak dibincangkan oleh pemimpin HARAPAN Sabah apabila mereka bertemu pada akhir Januari.

Disebabkan WARISAN berusia kurang dua tahun, ada yang mempersoalkan kedudukannya sebagai "abang besar" dalam pakatan pilihan raya tidak lama lagi.

Bagaimanapun Leiking mengulangi sebab mengapa WARISAN tidak menyertai HARAPAN secara rasmi.

Beliau berkata walaupun WARISAN menyokong HARAPAN untuk menghadapi BN dalam PRU, adalah penting untuk memastikan tidak berlaku "federal-centric" di Sabah.

"Shafie kata kami tidak akan sertai (HARAPAN) kerana misi kami adalah memastikan Sabah bebas sepenuhnya dari cengkaman parti lain untuk buat keputusan bagi kami - atau dalam kes ini, jika ada konsensus dan majoriti mencapai konsensus, ia akan melemahkan apa yang kami kehendaki untuk Sabah".

Bagi Leiking, rakyat Sabah mahu melihat negeri itu dengan caranya sendiri.

"Tidak dikawal oleh orang lain dan tidak perlu merujuk kepada kerajaan pusat," katanya.

Sebelum tahun 1990-an, Sabah ditadbir oleh parti berasaskan negeri.

Umno yang berasaskan Semenanjung memasuki Sabah pada tahun 1991 melalui Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) yang sekarang tidak lagi berfungsi.

Usno berkuasa pada akhir 1960-an dan 1970-an sebelum ia ditewaskan oleh Barisan Bersatu Rakyat Sabah (Berjaya).

[Baca wawancara penuh]

Lihat Komen
ADS