Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan akan bantu Selangor ambil alih Splash - Ongkili

Kerajaan persekutuan akan membantu kerajaan Selangor mengambil alih syarikat konsesi Air, Syarikat Pengeluaran Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) jika Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menetapkan harga belian.

Namun, Menteri Tenaga, Air dan Teknologi Hijau, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, Azmin tidak mempunyai tulang belakang untuk berbuat demikian.

"(Azmin) ini tidak ada tulang belakang untuk berani letakkan harga (mengambil alih Splash).

"Kamu sebutkan harga, dan esok kita boleh duduk dan lihat berapa banyak kerajaan persekutuan boleh bantu (dari segi kewangan). Jika tidak, kamu buat rakyat menderita dengan catuan dan pemotongan air ini," kata Maximus kepada Dewan Rakyat hari ini.

Splash adalah pemegang konsesi air yang masih belum dapat diambil alih oleh kerajaan Selangor sebagai sebahagian daripada penyusunan semula perkhidmatan air di negeri itu.

Syarikat konsesi itu meminta RM2.8 bilion untuk melepaskan pegangannya kepada kerajaan negeri.

Kerja-kerja pemulihan di loji rawatan air yang dikendalikan oleh Splash minggu lepas menyebabkan gangguan bekalan air hampir seminggu di Lembah Klang.

Azmin (gambar), yang merupakan anggota Parlimen Gombak, tidak berada dalam dewan apabila Maximus berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan dari Khalid Ibrahim (Bandar Tun Razak-bebas) semasa sesi soal jawab kementerian hari ini.

Khalid ingin tahu sama ada kerajaan persekutuan akan menggunakan peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air untuk mengambil alih Splash.

Ongkili berkata perkara itu boleh dilakukan demi kepentingan keselamatan negara dan jika keadaan tidak bertambah baik, kerajaan akan mempertimbangkannya.

Beliau juga memuji Khalid yang telah memulakan pengambilalihan industri air Selangor pada awal 2014 apabila menjadi menteri besar.

Menteri itu berkata Azmin, yang mengambil alih pentadbiran Selangor pada tahun 2014 harus mengikut jejak langkah Khalid.

Guna Akta 655

Sementara itu, Bernama melaporkan kerajaan perspekutuan mempertimbangkan untuk menggunakan peruntukan di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air atau Akta 655 untuk mengambil alih kawalan operasi konsesi air di Selangor sekiranya krisis air di negeri itu terus berpanjangan.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata bagaimanapun beliau berharap kerajaan Selangor dapat segera menyelesaikan perkara itu dengan menyatakan nilai yang sesuai untuk mengambi alih Syarikat Pengeluaran Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).

“Anda tetapkan harga dan kerajaan bersedia untuk membantu anda jika tidak anda telah menyebabkan rakyat menderita, semua halangan dan catuan (air) yang berlaku adalah dari kerajaan Selangor yang menyebabkan perkara ini berlanjutan.

“Akta 655 boleh pakai atas nama keselamatan negara, jika situasi ini berterusan kerajaan persekutuan akan meneliti perundangan yang ada termasuk, penggunaan Akta 655 namun saya mahu elakkan kerana kami harapkan ada keputusan,” katanya dalam waktu pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (Bebas-Bandar Tun Razak) mengenai cadangkan penggunaan Akta 655 yang memberi peluang kerajaan persekutuan menyelesaikan perkara tersebut sehingga selesai dan memberi semula kuasa kepada kerajaan negeri.

Menjawab soalan asal Budiman Mohd Zohdi (BN-Sungai Besar) mengenai status penstrukturan semula air Selangor, beliau berkata kelewatan pengambilalihan itu berlaku berikutan kegagalan kerajaan Selangor menawarkan nilai pengambilalihan SPLASH.

“Pihak-pihak yang terlibat dalam perjanjian penstrukturan air terpaksa lanjutkan tempoh pengambilalihan SPLASH sehingga tiga kali iaitu pada kali pertama selama enam bulan sehingga 6 April 2017, kali kedua enam bulan sehingga 5 Oktober 2017 dan ketiga selama sembilan bulan sehingga 4 Julai 2018,” katanya.

Lihat Komen
ADS