Kerajaan telah bertemu dengan wakil gergasi internet Facebook, Google, YouTube, Twitter, serta Asia Internet Coalition untuk mendapatkan maklum balas mengenai rang undang-undang berita palsu yang dicadangkannya.

"Sesi perbincangan tersebut mendapat reaksi positif daripada para penyedia platform media sosial," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan hari ini.

Azalina berkata pertemuan yang diadakan di parlimen itu penting bagi memastikan rang undang-undang yang sedang digubal bersifat  komprehensif dan merangkumi setiap aspek.

"Tindakan ini juga sebagai bukti yang kerajaan bersikap inklusif dalam membuat sesuatu dasar atau undang-undang," katanya.

Beliau berkata semalam juga berlangsung satu bengkel yang dikendalikan oleh jawatankuasa khas mengenai berita palsu yang telah diadakan di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asian (AIAC) bersama agensi-agensi kerajaan berkaitan.

Azalina berkata, seperti mana yang telah ditegaskan, asas utama rang undang-undang ini adalah bagi membendung berita palsu yang boleh mengancam ketenteraman awam dan keselamatan negara.

"Rang undang-undang ini juga bagi melindungi segenap masyarakat daripada menjadi mangsa kepada berita palsu.

"Saya percaya rang undang-undang ini menepati perkembangan dan keperluan semasa bagi membanteras fenomena global penyebaran berita dan maklumat palsu daripada terus menular dan membarah di negara ini," katanya.