Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Yang Dipertua Majlis Daerah Pasir Puteh, Mohd Anis Hussein menegaskan pihaknya boleh meneruskan kerja-kerja merobohkan Pasar Besar Pasir Puteh pada bila-bila masa.

Menurutnya, operasi meroboh pasar itu dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembangunan lain tetap akan diteruskan selepas keadaan kembali reda.

Katanya, peniaga yang enggan berpindah tidak berhak menghalang perobohan kemudahan itu kerana mereka bukan berstatus pemilik atau penyewa yang sah.

"MDPP boleh meroboh pasar itu pada bila-bila masa tanpa menunggu keputusan rayuan di mahkamah kerana kes itu hanya mengenai tuntutan peniaga terhadap kerugian dialami mereka selepas diarahkan berpindah ke Pasar Siti Hajar (pasar baru).

"Keputusan mahkamah pada 1 Mac lalu, tidak ada perintah yang menghalang kami untuk meroboh pasar dan kami tidak perlu menunggu keputusan mahkamah pada 22 Mac untuk kerja meroboh," katanya.

Semalam, Malaysiakini melaporkan lebih 300 peniaga membantah tindakan MDPP mahu merobohkan premis berusia lebih 30 tahun itu.

Malah, suasana tegang tercetus apabila dua jentolak dibawa ke lokasi dan berjaya dihalang oleh peniaga yang berkumpul di perkarangan pasar berkenaan.

Bagaimanapun, keadaan reda selepas MDPP bersetuju untuk tidak meneruskan hasrat mereka.

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan peniaga di Pasar Besar Pasir Puteh enggan berpindah ke Pasar Siti Hajar dengan alasan petak jualannya yang kecil dan lokasi pasar baru yang tidak strategik.

Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasir Puteh Kelantan (PEMBEKAL) pada 1 Mac lalu memfailkan permohonan injunksi Erinford untuk menghalang notis pengosongan MDPP di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu.

Permohonan injunksi kedua itu dibuat sementara menunggu keputusan rayuan kes lain berkaitan kes ganti rugi untuk peniaga itu yang akan diputuskan di Mahkamah Rayuan pada 22 Mac ini.

Permohonan injunksi Erinford akan dengar Khamis ini.

Menurut PAS negeri, penduduk telah memohon injunksi bagi menyekat MDPP menghalang operasi di premis itu, termasuk memotong bekalan elektrik dan air, yang difailkan pada 1 Februari 2017, tetapi tidak berjaya.

Kes itu kemudian, menurut PAS, dibawa ke Mahkamah Rayuan pada 9 Ogos tahun lalu tetapi peniaga bersetuju menarik balik rayuan pada 6 September tahun lalu.

Lihat Komen
ADS