Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Dilabel 'pencuri' dua kali, Lim tertanya-tanya jika Najib akan saman
Diterbitkan:  Mar 13, 2018 1:49 PM
Dikemaskini: 5:54 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak mempunyai pilihan selain untuk membersihkan nama dirinya dan negara, menurut pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang.

"Najib tidak boleh terus bertindak seolah-olah dia mempunyai mata yang tidak boleh melihat, telinga yang tidak boleh mendengar dan mulut yang tidak boleh bercakap," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Lim mengulas laporan dua organisasi media antarabangsa yang menggambarkan perdana menteri sebagai "pencuri".

"Buat kali pertama, dalam sejarah 61 tahun negara, perdana menteri kita itu telah dilabel sebagai 'pencuri' secara terbuka.

"Bukan sekali, tetapi dua kali dalam masa dua hari, oleh dua organisasi media antarabangsa mengenai isu yang sama sekali berbeza," katanya.

Pada isu 8 Mac, majalah mingguan Economist tampil dengan artikel bertajuk “Stop, thief! Malaysia's PM is about to steal an election” (Berhenti, pencuri! PM Malaysia akan curi pilihan raya).

Keesokannya, pengacara program berita MSNBC Amerika, Rachel Maddow pula menamakan Najib sebagai "pencuri" berhubung saman sivil Jabatan Keadilan (DoJ) Amerika Syarikat (DOJ) mengenai 1MDB.

Memandangkan ini, Lim menyoal sama ada Najib akan membersihkan nama dan reputasinya dengan memulakan prosiding fitnah terhadap kedua-dua organisasi media berkenaan.

Beliau berkata jika perdana menteri tidak melakukan ini untuk dirinya sendiri, beliau harus berbuat demikian untuk Malaysia dan 30 juta rakyatnya.

Pemimpin DAP itu juga menegaskan bahawa skandal 1MDB turut dipaparkan dalam majalah hal ehwal semasa Indonesia, Tempo.

"Dalam edisi terbarunya, penerbitan mingguan itu memaparkan skandal 1MDB di halaman depannya - dengan karikatur ahli perniagaan Jho Low di atas kapal persiaran (mewah) Equanimity - dan memuatkan beberapa artikel, termasuk yang berjudul bertajuk ‘Lancar di luar, mandek di dalam’.

"Ia menyatakan bahawa siasatan oleh pihak berkuasa Malaysia sejak tiga tahun yang lalu tidak menyaksikan sebarang tuduhan dikenakan terhadap mana-mana individu yang dikaitkan dengan dana pelaburan negara itu," katanya.

Pada 28 Februari lalu, Equanimity dirampas di Bali dalam operasi bersama yang membabitkan polis Indonesia dan agen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) AS.

DoJ mendakwa kapal bernilai AS$260 juta (RM1 bilion) itu dibeli oleh Low menggunakan duit yang dilesapkan daripada 1MDB.

Selain itu, pihak berkuasa Amerika juga percaya sekurang-kurangnya AS$4.5 bilion dilesapkan dari 1MDB dan digubah secara haram menerusi sistem kewangan AS bagi membeli pelbagai aset.

Najib menafikan sebarang salah laku berkaitan dengan 1MDB.

Lihat Komen
ADS