Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengeluarkan arahan menyekat pengeluar semikonduktor, Broadcom Ltd untuk mengambil alih Qualcomm Inc pada harga AS$117 bilion yang sekaligus menamatkan spekulasi urus niaga industri teknologi terbesar dalam sejarah.

Alasan yang diberikan adalah atas sebab keselamatan negara.

"Cadangan pengambilalihan Qualcomm oleh pembeli (Broadcom) dilarang, dan mana-mana penggabungan, pengambilalihan, atau pembelian berikutnya, sama ada secara langsung atau tidak langsung, juga dilarang," petik arahan presiden itu.

Broadcom sedang disiasat oleh Jawatankuasa Pelaburan Asing Amerika Sayrikat (CFIUS), sebuah panel pelbagai agensi yang diketuai oleh Jabatan Perbendaharaan.

Panel itu bertanggungjawab menyemak implikasi keselamatan negara daripada pengambilalihan syarikat AS oleh syarikat luar negara.

Broadcom dipimpin oleh presiden dan ketua pegawai eksekutifnya, Tan Hock Eng, yang berasal dari Pulau Pinang.

Beliau pernah bekerja bersama pengasas Hong Leeong, Tan Sri Quek Leng Chan sebagai pengarah urusan Hume Industries di Malaysia dari 1983 hingga 1988, sebelum mengetuai sebuah dana modal teroka di Singapura dari 1988 hingga 1992.