Dr M sindir PAS campur orang 'kafir'
Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad menyindir PAS yang mendakwa mendengar suara bukan Islam ketika menyediakan manifesto pilihan raya mereka.
"PAS kalau bercampur dengan bukan Islam dia jadi kafir, tak akan dia boleh?
“Dia tak boleh (campur), orang yang pegang pada prinsip kalau campur dengan kafir dia akan jadi kafir.
"Sebelum ni sebab dia campur dengan DAP, saya anggap parti PAS ini tak Islam,” kata bekas perdana menteri 22 tahun yang terkenal dengan kenyataan-kenyataan sinisnya itu.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden di parlimen, hari ini.
Mahathir diminta mengulas manifesto PAS yang dikatakan turut mendengar pandangan bukan Islam.
Manifesto itu akan dibentangkan Ahad ini di sebuah hotel di Cyberjaya, Selangor.
Timbalan Presiden PAS Datuk tuan Ibrahim Tuan Man berkata manifesto bersama Gagasan Sejahtera itu digubal setelah mengambil maklum pendapat semua pihak, termasuk bukan Islam.
Menurut Tuan Ibrahim, manifesto itu antaranya berkaitan pembentukan kerajaan berintegriti, amanah dan bebas rasuah.
Katanya lagi, manifesto parti Islam itu juga menjuruskan kepada usaha menarik undi bukan Islam.

