Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Umno WP: Johari tak pernah lupa Titiwangsa
Diterbitkan:  Mar 13, 2018 9:52 PM
Dikemaskini: 1:55 PM

Walaupun sibuk dengan tugas sebagai Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tidak pernah melupakan kawasan parlimennya di Titiwangsa, kata Umno Wilayah Persekutuan.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata Johari melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan dan sering turun padang di sana.

"Saya yakin Johari akan terus kekal kerana pengundi Titiwangsa masih memerlukan beliau...Pengundi mahukan wakil rakyat untuk meneruskan agenda pembangunan, bukannya calon pembangkang yang sentiasa beretorik," katanya dalam kenyataan.

Beliau (gambar) menyangkal kenyataan Penolong Setiausaha Pemuda PKR Syed Badli Shah Syed Osman yang mendakwa Johari mengabaikan kawasan Parlimen Titiwangsa ekoran peranannya sebagai menteri.

Syed Badli Shah juga mendakwa Johari gagal menyelesaikan pelbagai masalah yang dihadapi penduduk di situ seperti isu tanah warisan Kampung Baru, masalah tempat letak kereta serta kegiatan pelacuran di Chow Kit.

Syed Ali berkata dakwaan tersebut tidak tepat dan hanya mahu menafikan keupayaan Johari sebagai anggota parlimen.

"Mereka hanya mengutip fakta di tepi jalan tanpa asas yang kukuh untuk menidakkan apa yang telah dilakukan wakil rakyat Titiwangsa," katanya lagi.

Beliau berkata Umno akan berusaha lebih kuat bagi memastikan Johari menang besar pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 jika sekali lagi dicalonkan di situ.

pada PRU ke-13, Johari berjaya merampas kerusi parlimen itu daripada PAS selepas menewaskan calon parti itu Ahmad Zamri Asa'ad Khuzami dengan majoriti kecil, iaitu 866 undi.

Kerusi parlimen Titiwangsa sebelum itu disandang Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali yang meninggal dunia pada 2011.

Lihat Komen
ADS