Berita Malaysiakini

2 hari berturut-turut Zahid serang MCA

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sekali lagi menegur MCA secara terbuka berhubung persiapan pilihan raya parti itu.

Bercakap di Rembau hari ini, beliau yang juga timbalan pengerusi BN mengkritik MCA Negeri Sembilan kerana gagal menghantar wakil ke program BN.

"Mana wakil MCA, tengok tiada seorang pun yang datang. MIC ada, GERAKAN ada, MyPPP ada tapi MCA tak ada.

“Tolong tunjuk muka di parlimen Rembau walaupun kita beri kerusi bertanding di tempat lain. Bantu calon kita, kerusi hendak, tetapi program tidak hadir," katanya seperti dipetik portal BNBBC.

Penyandang kerusi parlimen Rembau adalah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin.

Kawasan parlimen itu memiliki empat Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Paroi, Chembong, Rantau dan Kota - kesemuanya ditandingi Umno.

Ketika Zahid melawat kawasan parlimen Bandar Tun Razak semalam, beliau turut menegur MCA bahagian itu.

"Dua kali kita beri MCA kerusi di sini, betul?

"(Tetapi) siapa yang buat kerja? Umno," katanya semalam.