Anak bantut: Kaji laporan Unicef bukan bidas saya, kata MP
Anggota Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin menempelak Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khaled yang memperlekehkan dan membidas hasil penyelidikan laporan Tabung Kanak-Kanak PBB (Unicef).
Katanya, laporan tersebut yang menyebut 26 peratus kanak-kanak bawah 5 tahun mengalami tumbesaran terbantut di Terengganu, bukan suatu isu yang boleh diketepikan begitu sahaja.
"Saya minta Ahmad Razif lihat kelemahan kerajaan negeri, bandingkan fakta yang diberi tentang peratusan anak Terengganu. Rakyat tak ramai, duit banyak tapi kemana pergi wangnya. Itu persoalannya.
"Dan jangan remehkan kajian yang dibuat Unicef dan daripada ahli akademik dengan hanya menyatakan dengan emosi ini adalah fitnah semata-mata.
"Menteri pendidikan pun tidak patut membuat kenyataan hanya untuk menjaga kononnya nama baik kementerian tanpa menyelidik kajian yang ada. Ia begitu mudah untuk didapatkan di dalam talian, beliau hanya perlu baca dan cari kajian itu," katanya pada sidang media di Parlimen, hari ini.
8 Mac lalu, Raja Kamarul pada sidang media di lobi Parlimen mendedahkan laporan Unicef menyebut Terengganu adalah negeri ke-2 tertinggi selepas Kelantan yang mempunyai bilangan kanak-kanak yang terbantut.
Katanya, perkara itu mengejutkan kerana Terengganu menerima bajet RM2 bilion setiap tahun untuk 1 juta penduduk berbanding Selangor yang mempunyai bajet lebih rendah iaitu RM1.6 bilion untuk 5 juta penduduk.
Bagaimanapun Ahmad Razif berkata bahawa dakwaan Raja Kamarul itu merupakan tuduhan liar dan berniat memfitnah kerajaan negeri pimpinan BN yang banyak membawa kemajuan kepada rakyat.
Mahdzir pula meremehkan kajian Unicef itu dengan mempersoalkan mana mungkin Malaysia sama taraf dengan Afrika.
“Kerajaan negeri khusunya Ahmad Razif dan Mahadzir Khaled sebagai menteri pendidikan jangan menyatakan kajian Unicef ini kajian yang tidak boleh dipakai kerana ia merupakan kajian mendalam dan mengambil kira pandangan antarabangsa dan pakar tempatan.
"Mereka yang terlibat juga merupakan pakar akademik dan pengkaji terkenal di Malaysia, malah mereka bukan ahli pembangkang.
"Ini (kajian Unicef) tidak ada apa-apa konspirasi tetapi ini adalah kajian untuk kebaikan anak muda," tegasnya.
Manakala mengulas kenyataan Mahdzir, Raja Kamarul mengingatkan menteri pendidikan itu agar tidak mendabik dada.
"Saya rasa Datuk Mahadzir Khaled telah hilang 'lost track of time' dan di mana kedudukan Malaysia hari ini, bukan seperti dulu kerana bukan sahaja kebajikan rakyat tak dipelihara tetapi dari segi pencapaian pun Malaysia telah merosot ke tangga 47 daripada skala 100, iaitu gagal.
"Dan kalau dibandingkan dengan negara Afrika seperti Ivory Coast dan Senegal mereka meningkat. Jadi, ini adalah satu kenyataan dan realitinya kerajaan Malaysia tidak tahu kemerosotan mutu penjagaan rakyat dan ekonomi berbanding negara Afrika.
"Jangan remehkan Afrika, mungkin ada yang miskin tetapi ada usaha bersungguh-sungguh untuk tingkat ekonomi bagi perbaiki negara mereka.
"Kita tak boleh mendabik dada kita negara yang baik dan maju tanpa kawalan," katanya.
Menurut Raja Kamarul, Ahmad Razif juga tidak sewajarnya menyalahkan ibu bapa dalam masalah tumbesaran kanak-kanak di negeri itu.
Sebaliknya katanya, jika pertumbuhan kanak-kanak itu terbantut kerana ibu bapa tidak peka dalam menyediakan makanan berkhasiat, kerajaan sepatutnya mampu memberi penerangan untuk mengatasinya.
"Jika sikap ibu bapa adalah sebab sebenarnya ia berlaku, ini sepatutnya mudah diatasi dengan penerangan oleh pegawai kerajaan termasuk dari kementerian kesihatan dan juga penyebaran maklumat oleh ketua kampung dan JKK tempatan.
"Terengganu mempunyai bajet negeri yang amat tinggi sebanyak RM2.2 bilion untuk rakyat hanya seramai 1.1 juta saja.
"Kenapakah wang yang banyak dan tenaga kerja yang ada tidak dimanfaatkan bagi tujuan penerangan kesihatan anak-anak kecil? Kerajaan gagal berbuat demikian," katanya.

