BN mengambil pendekatan mengumumkan senarai calon mereka lebih awal bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai langkah mengelak sabotaj atau cah keting.

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata tindakan sebegitu membolehkan BN menangani sebarang isu berbangkit, seperti rasa tidak puas hati pihak lain.

Pengumuman awal juga kata membolehkan inividu terbabit mendekati pengundi dan menggunakan sepenuhnya tempoh berkempen.

“Oleh kerana tempoh berkempen pendek, kebiasaannya beberapa hari pertama akan dihabiskan untuk menguruskan rasa tidak puas hati pemimpin dan penyokong yang tidak terpilih," katanya seperti dilapor BH.

Akhbar itu yang memetik sumber melaporkan satu majlis khas bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) untuk membolehkan Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak menyampaikan surat watikah sebagai calon terbabit.

Seorang lagi anggota MT Umno Datuk Dr Mohd Puad Zakarshi pula yakin mengumumkan calon lebih awal iu memberikan masa mencukupi kepada pimpinan parti untuk menyelesaikan masalah supaya tidak berlarutan seperti sebelum ini.

Selain itu katanya, jika timbul masalah membabitkan calon seperti kes mahkamah atau peribadi yang tidak dapat dikesan, parti mempunyai masa untuk menggantikannya dengan calon lain.

“Namun, saya berharap parti tidak melayan sebarang unsur ugutan oleh mana-mana individu dan pihak yang tidak berpuas hati.

“Saya juga berharap pemilihan calon mesti mengambil kira pandangan kepimpinan bahagian supaya pihak yang bertungkus-lumus menguatkan parti tidak diketepikan begitu sahaja.

"Jika faktor ini tidak diambil kira, ia menjadi punca utama sabotaj,” katanya.