6 penuntut pusat tahfiz diliwat penderma
Polis menahan seorang lelaki berumur 41 tahun yang didakwa meliwat enam pelajar sebuah pusat tahfiz di Kuantan sejak awal Disember tahun lepas.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Kama Azural Mohamed berkata suspek merupakan sukarelawan di pusat tahfiz berkenaan dan aktif memberi sumbangan barangan keperluan harian serta pakaian sejak 2015.
Katanya, perbuatan terkutuk suspek ke atas mangsa berusia lingkungan 14 hingga 17 tahun terbongkar pada Isnin lepas menyebabkan tenaga pengajar di pusat berkenaan membuat laporan polis.
"Laporan mendakwa mangsa mula diliwat pada awal Disember lepas di sekitar kawasan asrama dan kediaman suspek di sebuah taman perumahan di Kuantan.
“Siasatan mendapati suspek yang bekerja sendiri melakukan kesalahan itu sebanyak antara satu hingga lima kali terhadap setiap mangsa," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Kama Azural menambah suspek ditangkap pada hari yang sama laporan dibuat dan telah direman bermula semalam sehingga 19 Mac.
Kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
- Bernama

