‘Cari sendiri mengapa sambutan 1 Mei ditunda tarikh lain’
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem hari ini memaklumkan sambutan besar-besaran Hari Pekerja yang sinonim dengan tanggal 1 Mei akan ditangguhkan pada tarikh lain.
Katanya, sambutan akan diadakan selepas Aidilfitri pada Jun depan, tetapi masih berteka-teki dan enggan mengulas lanjut berhubung sebab penundaan tarikh sambutan berkenaan.
"Saya ingin sebutkan iaitu tentang Hari Pekerja yang sepatutnya jatuh pada 1 Mei pada tiap-tiap tahun dan slogan tema Hari Pekerja tahun ini adalah Pekerja Berkemahiran Peneraju Kecemerlangan Negara.
"Tetapi saya percaya, ia tidak boleh diadakan pada 1 Mei ini sebab saya percaya waktu itu... tidak payah sebut, anda cari sendiri.
“Saya sudah pun meminta KSU (Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia) untuk mencari tarikh baharu selepas Hari Raya Aidilfitri," katanya yang dipetik oleh portal Utusan Online.
Beliau sebelum itu berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 kementeriannya, di Putrajaya hari ini.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib azak pernah memberi bayangan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila memberitahu akan ada dua 'Hari Raya' dalam tempoh sebelum Hari Raya Aidiladha pada Ogos depan.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang juga Ketua Whip Barisan Nasional (BN) berkata Parlimen akan bersidang sehingga 5 April manakala Dewan Negara akan bersidang mulai 16 hingga 30 April.
Beliau berkata usul persempadanan semula kawasan pilihan raya akan dibentangkan selepas titah Yang di-Pertuan Agong selesai dibahaskan dan akta-akta lain dibentangkan termasuk Rang Undang-Undang Pembekalan Tambahan.
“Itu sahaja yang saya boleh beritahu. Ini adalah maklumat rasmi yang kita ketahui, tarikh pembubaran saya tidak tahu, tarikh mengundi pun saya tidak tahu,” katanya.

