Pencemaran di Sungai Masai Besar dekat Pasir Gudang di Johor Bahru, yang sudah berlarutan hampir 10 tahun sehingga menyebabkan kira-kira 120 nelayan mengalami kerugian beratus ribu ringgit, masih belum menemui jalan penyelesaian.

Pengerusi Persatuan Nelayan Johor Selatan, Azli Aziz berkata pencemaran sungai itu dipercayai berlaku sejak 2008, menyebabkan beliau dan rakan-rakan lain terpaksa menanggung kerugian setiap tahun sehingga mencecah sekitar RM600,000.

Meskipun masalah itu sering kali diajukan kepada pihak berkuasa, sehingga kini jalan penyelesaian masih belum dicapai menyebabkan sungai berkenaan terus tercemar.

“Saya berharap pihak Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) fikirkan jalan sebaik mungkin supaya kita boleh sama-sama hidup dalam keadaan selesa.

“Kalau macam ini, tidak selesa, ia juga mengganggu aktiviti perniagaan di kampung ini yang turut dihubungkan melalui jambatan ke kampung-kampung berdekatan dan aktiviti agro pelancongan yang mahu diwujudkan penduduk kampung,” katanya kepada pemberita di Pengkalan Nelayan Kampung Pasir Gudang Baru di Johor Bharu semalam.

Air sungai berwarna hitam dan bau hanyir tidak menyenangkan itu antara pencemaran di sungai berkenaan yang turut menjejaskan nelayan dan pengusaha ternakan kupang di beberapa kampung, termasuk Kampung Plentong Tengah, Kampung Bakar Batu, Kampung Pengkalan Sungai Balak dan Kampung Orang Asli Stulang.

Azli mendakwa pencemaran itu dapat dilihat sejauh dua kilometer dari Loji Kumbahan Taman Bukit Dahlia sehingga ke hulu sungai berkenaan.

Beliau berkata pihaknya sudah beberapa kali mengadakan perbincangan dengan MPPG kerana bimbang jika masalah tersebut dibiarkan berterusan boleh menjejaskan pendapatan nelayan yang bergantung pada hasil tangkapan.

"Saya akan berusaha meminta ganti rugi daripada pihak yang terlibat untuk menanggung kerugian dialami nelayan.

"Apa saya kesalkan, penduduk kampung bercadang membangunkan sebuah medan selera makanan laut dan agro pelancongan untuk membawa pelancong melihat kawasan ternakan kupang terbesar di Malaysia," katanya.

Salah seorang nelayan di Kampung Pasir Gudang Baru, Mohd Yusof Jantan, 68, turut kecewa terhadap pencemaran yang sering kali berulang di sungai berkenaan.

Beliau berkata pencemaran di sungai itu menyebabkan dirinya kehilangan pendapatan daripada RM2,000 sebulan kepada hanya RM800 sebulan.

“(Sekarang) saya melakukan kerja sampingan mengutip tin dan botol-botol kosong untuk menggantikan pendapatan utama saya yang terjejas akibat keadaan air sungai yang tercemar," katanya.

- Bernama