Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mungkin membubarkan Parlimen pada akhir Mac ini, iaitu seminggu selepas kerajaan membentangkan laporan persempadanan pilihan raya, lapor The Star.

"Tarikh bila parlimen akan dibubarkan kini hampir pasti. Pembubaran akan berlaku pada 28, 29 atau 30 Mac," kata Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Star Media Group, Wong Chun Wai.

Laporan akhir Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai penyusunan persempadanan semula pilihan raya dijangka akan diberikan kepada anggota parlimen pada Isnin depan, 19 Mac.

Seperti yang ditegaskan Timbalan Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Selasa lalu, hanya dengan majoriti mudah dalam Dewan Rakyat diperlukan untuk meluluskan usul berkenaan tanpa perlu melalui Dewan Negara.

Persempadanan semula kawasan parlimen dan negeri akan mula berkuatkuasa apabila usul berkenaan mendapat persetujuan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Oleh itu, ia menunjukkan bahawa Najib boleh membubarkan parlimen awal, kata laporan berkenaan.

Selain itu, The Star juga memetik sumber yang mengatakan bahawa Perintah Tetap Parlimen 15 (1) yang menyatakan bahawa urusan kerajaan harus diutamakan dari perkara-perkara lain boleh digunakan untuk mempercepatkan pembentangan usul persempadanan semula.

"Kerajaan boleh memutuskan untuk memendekkan penggulungan menteri dengan hanya dua hari dan bukannya empat hari seperti yang dijadualkan.

"Terdapat juga Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan yang perlu dibentangkan dan dibahaskan minggu depan.

"Kerajaan boleh membuat keputusan untuk hanya memajukan usul persempadanan semula dan kemudian mengetepikan minggu berikutnya untuk perdebatan," kata laporan akhbar berbahasa Inggeris itu lagi.

Pada Isnin lalu, dua akhbar iaitu Berita Harian dan New Straits Times juga melaporkan bahawa parlimen mungkin akan dibubarkan pada akhir Mac atau awal April.

Dengan pembubaran itu, pilihan raya umum ke-14 dijangka akan diadakan dari akhir April hingga awal Mei- sebelum bulan Ramadan bermula iaitu pada pertengahan bulan Mei.

[Baca berita asal]