Pecat TPM bukan seperti petik kelapa, kata bekas IGP
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor memaklumkan setiap pelantikan dan pelucutan jawatan timbalan perdana menteri bukan sesuatu yang mudah kerana ia hanya melalui cadangan perdana menteri dengan persetujuan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau yang meletakkan jawatan ketua polis negara pada 7 Januari 1999 kerana memukul bekas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulas kenyataan perdana menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berkata, polis adalah pihak yang mendorong beliau memecat bekas timbalannya.
“Pelantikan dan pemecatan seorang timbalan perdana menteri bukan seperti memetik buah kelapa, semuanya dicadangkan oleh perdana menteri ketika itu.
“Saya tidak tahu kenapa dia berkata begitu dan saya tidak dapat selami pemikirannya.
“Polis tiada kuasa dari segi undang-undang untuk melakukan pemecatan kepada sesiapa pun,” katanya yang dipetik oleh akhbar Utusan Malaysia, hari ini.
Rahim menjelaskan bahawa pihak polis sebenarnya tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk memecat mana-mana ahli politik.
“Polis hanyalah sebuah jabatan kerajaan yang kuasanya tertakluk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Polis sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan kuasa-kuasa polis dan apa yang boleh dilakukan oleh polis,” katanya.
Ahad lalu, semasa temu bual bersama Sin Chew Daily, Mahathir yang kini adalah pengerusi Pakatan Harapan berkata beliau "sangat marah" kepada polis semasa insiden mata lebam bekas timbalannya itu pada 1998.
Ia terjadi selepas Anwar ditahan polis sebelum dihadapkan ke mahkamah.
Kata beliau, pada awalnya polis enggan memberitahu keadaan Anwar itu kepadanya.
Mahathir turut mendakwa bahawa polis yang mendorong dirinya sebagai perdana menteri untuk memecat timbalannya atas kesalahan rasuah dan liwat pada 1998.
Menurut Mahathir, beliau tidak mempunyai pilihan selain terpaksa mengambil tindakan terhadap Anwar setelah polis mengemukakan semua bukti kepadanya.

