ULASAN | Banyak teori dan kesimpulan dibuat berkenaan krisis air Selangor (termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya) sejak beberapa tahun lalu. Apa yang menyebabkan situasi ini?

Margin simpanan air yang rendah adalah punca masalah ini. Kami telah pun memberikan amaran tentang situasi sebegini sejak 2011 dan sebaliknya kami dilabelkan ‘barua’.

Kini hanya fakta sains dan kejuruteraan yang berdiri teguh kerana apa yang kami ramalkan telah berlaku berulang kali.

Margin simpanan adalah kapasiti boleh agih tambahan yang sedia ada selepas memenuhi permintaan bekalan air semasa.

Margin simpanan akan membolehkan loji perawatan air untuk memenuhi sebarang peningkatan permintaan secara tiba-tiba atau gangguan bekalan air yang tidak dijangkakan.

Adalah penting untuk memastikan margin simpanan yang mencukupi semasa masalah-masalah operasi terjadual (penyelengaraan dan penukaran paip) serta tidak terjadual (paras air mentah yang rendah, kebocoran paip utama, pencemaran kepada air mentah dan kerosakan secara tiba-tiba).

Margin simpanan akan membantu mengurangkan impak kepada kawasan-kawasan terjejas dan mempercepatkan proses pemulihan bekalan air selepas gangguan.

Apabila margin simpanan rendah, proses pemulihan akan perlahan dan mengambil masa lebih lama kerana sistem perlu memenuhkan tangki-tangki perkhidmatan, memenuhi permintaan semasa dan permintaan tertunggak serta menangani masalah air tidak terhasil (NRW).

Margin simpanan air yang rendah juga akan menyebabkan tekanan air rendah di sesetengah kawasan walaupun dalam operasi biasa disebabkan cuaca panas berterusan.

Terdapat dua penyelesaian untuk menangani margin simpanan air yang rendah. Pertama adalah pembinaan loji perawatan air baru dan keduanya mengurangkan NRW.

Dengan menggunakan analisis kos-manfaat, membina loji perawatan air yang baru adalah penyelesaian serta-merta.

Pengurangan NRW adalah penyelesaian sokongan kerana NRW yang tinggi adalah kehilangan air terawat.

Mengapa margin simpanan rendah?

Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA) dikuatkuasakan mulai 1 Januari 2008 oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Ini memerlukan kerajaan negeri untuk mengguna pakai model WSIA melalui penstrukturan semula.

SPAN adalah pengawal selia bagi perkhidmatan air (perawatan air, bekalan air dan pembetungan).

Liabiliti daripada operasi sedia ada akan dipindahkan kepada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) melalui proses penstrukturan semula.

PAAB juga dikawal selia oleh SPAN. Semua infrastruktur akan dibiayai oleh PAAB atau sumber kewangan yang lebih murah (jika berkenaan).

Penukaran paip-paip lama dan pembinaan loji-loji perawatan air yang baru akan menjadi lebih mudah.

Tetapi, kerajaan negeri Selangor tidak bersetuju untuk menstruktur semula sehingga berlakunya krisis air 2014 yang telah menyebabkan hampir 60 peratus pengguna di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dikenakan pelan catuan air.

Loji Perawatan Air Langat 2 dijadualkan untuk disiapkan pada 2014 kita terlewat sehingga 2019.

Loji ini akan menghasilkan air terawat sebanyak 1,130 juta liter sehari (JLH) dan menambahkan margin simpanan sebanyak 20 peratus jika ia telah beroperasi pada 2014.

Dari 2014 sehingga sekarang banyak projek-projek baru dan penambahan permintaan daripada projek-projek sedia ada telah dibekukan.

Hanya projek-projek terpilih diluluskan berdasarkan keperluan. Data peningkatan permintaan di Lembah Klang adalah data palsu kerana peningkatan permintaan telah dikekang.

Tambahan pula, nilai NRW di Lembah Klang masih lebih daripada 30 peratus dan apabila Langat 2 beroperasi sepenuhnya menjelang 2019, jumlah air terawat yang boleh diagihkan hanyalah sekitar 790 JLH (selepas menolak nilai NRW yang konservatif).

Kita juga perlu ingat bahawa apabila lebih banyak air terawat mula dibekalkan ia akan meningkatkan tekanan dalam rangkaian paip yang akan meningkatkan lagi NRW.

Kini, margin simpanan Langat 2 selepas ia beroperasi hanyalah sekitar 10 hingga 15 peratus bergantung kepada situasi NRW dan peningkatan kepada permintaan air terawat.

Selepas Langat 2 beroperasi, kami menjangkakan peningkatan permintaan yang mendadak kerana banyak permohonan projek-projek tertunggak akan diluluskan dengan cepat.

Menjelang 2021 atau 2022, jika NRW masih lebih daripada 25 peratus, kita akan mencapai margin simpanan yang rendah sekali lagi.

Untuk memastikan Langat 2 memenuhi peningkatan permintaan menjangkau 2025, kita perlu menangani NRW dengan segera.

Overloading’ kaedah bagus?

Kini kita kembali kepada insiden di loji perawatan air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3). Loji ini telah beroperasi secara ‘overloading’ sebanyak 20 peratus sejak 2016.

Overloading’ atau ‘operasi melebihi kapasiti’ adalah operasi loji melebihi kapasiti sedia ada.

Operasi melebihi kapasiti memerlukan sistem perawatan dan bekalan air ditambah baik untuk menangani output air terawat yang lebih tinggi.

Saya masih ingat menegur seorang pegawai kanan SPAN mengenai hal ini dalam satu mesyuarat di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) pada awal 2016.

Operasi melebihi kapasiti juga akan mempercepatkan kerosakan dan meningkatkan kos penyelenggaraan.

Sistem sokongan juga perlu ditambah baik untuk mengelakkan kegagalan sistem.

Dalam sebarang keadaan, penyelengaraan terjadual tidak boleh ditangguhkan jika sebuah loji beroperasi di bawah keadaan operasi melebihi kapasiti.

Adakah SPAN, KeTTHA dan kerajaan negeri Selangor melakukan audit kejuruteraan yang sepatutnya untuk mengenal pasti sama ada operasi melebihi kapasiti adalah mapan?

Baru-baru ini, dilaporkan bahawa pengurus SSP3 mengatakan bahawa mereka kekurangan peruntukan dan kepakaran dalam menyelenggara loji mereka.

Ini adalah alasan yang tidak masuk akal dan tidak bertanggungjawab daripada pemegang konsesi. SPLASH juga mendakwa bahawa mereka tidak bersetuju untuk loji mereka beroperasi melebihi kapasiti.

Untuk memastikan fakta didedahkan dengan tepat, AWER menggesa SPAN untuk menubuhkan satu jawatankuasa siasatan bebas dalam isu SSP3. Terma rujukan jawatankuasa ini patut merangkumi:

(i) Proses kelulusan ‘overloading’ bagi SSP3 telah mengikut audit-audit kejuruteraan yang sepatutnya untuk mengelakkan kegagalan peralatan tidak terjadual;

(ii) Masa yang diambil antara pengesanan masalah pada peralatan dan tindakan yang dilaksanakan;

(iii) Pelanggaran klausa-klausa perjanjian konsesi yang membolehkan kerajaan negeri untuk membatalkan perjanjian konsesi; dan

(iv) Gambaran keseluruhan loji-loji perawatan air yang lain yang beroperasi melebihi kapasiti di Lembah Klang untuk mengelakkan insiden seperti SSP3 daripada berulang.

Jawatankuasa ini patut menerbitkan penemuan mereka dan memastikan jaminan bekalan air di Lembah Klang tidak tergugat.

Penstrukturan semula satu kemestian

Kerajaan negeri Selangor mesti memuktamadkan proses penstrukturan semula dengan cepat dan mengikuti pelan perniagaan 30 tahun dengan segera.

Kelewatan yang berterusan hanya akan menyebabkan lebih banyak gangguan bekalan air serta kos ang lebih tinggi kepada tarif.

Kepada negeri-negeri lain yang masih melewatkan penstrukturan semula kepada model WSIA, Selangor telah menunjukkan contoh jelas tentang kesan negatif dalam kegagalan untuk menstruktur semula pada masa yang tepat untuk memastikan pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur air.

Mempolitikkan perkhidmatan air tidak akan membawa apa-apa kebaikan kepada mana-mana entiti. Lihat kepada Negeri Sembilan dan Melaka yang telah menambah baik situasi perawatan dan bekalan air selepas menstruktur semula.

Pada masa yang sama, KeTTHA dan SPAN perlu memainkan peranan yang lebih proaktif berbanding pendekatan “tunggu dan lihat” seperti sekarang.

Mereka sentiasa menuding jari kepada orang lain tetapi mempunyai banyak kelemahan dan tidak kompeten dalam operasi mereka sendiri.

Jika ada keperluan, kerajaan Persekutuan perlu mencantas pegawai-pegawai yang tidak kompeten ini supaya dapat melindungi perkhidmatan air yang merupakan perkara penting kepada rakyat dan ekonomi negara.

Kegagalan membuat keputusan menyebabkan krisis air!


PIARAPAKARAN S ialah presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.