Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerosakan Taman Ilmu di Besut siap dibaiki tiga bulan lagi
Diterbitkan:  Mar 15, 2018 3:10 PM
Dikemaskini: 7:22 AM

Semua kerosakan yang terdapat di Taman Ilmu di Besut akan siap dibaiki dalam tempoh tiga bulan lagi, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata proses baik pulih itu bertujuan memastikan pengambilan pertama pelajar Universiti P. Ramlee yang dinaik taraf daripada Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula pada September depan berjalan lancar.

"Untuk memastikan projek baik pulih kerosakan ini dapat disiapkan dalam tempoh itu, kerajaan negeri menubuhkan Perbadanan Taman Ilmu yang akan dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail untuk menggalas tanggungjawab itu.

"Urusan baik pulih kerosakan di perpustakaan akan dilaksanakan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Terengganu manakala Dewan Canselori dan Kompleks Sukan akan dilaksanakan Majlis Daerah Besut.

"Pada bulan ini juga, projek pembinaan pagar Taman Ilmu akan dimulakan untuk memastikan tiada lagi kes vandalisme berlaku di kawasan ini pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penyerahan tapak Universiti P. Ramlee yang turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh di Besut hari ini.

Menerusi tinjauan di kawasan tersebut, di dapati beberapa bangunan mengalami kerosakan pada bahagian siling, pintu dan bumbung malah struktur seni binaan semakin pudar ekoran kulat.

Menurut Ahmad Razif, kerosakan itu disebabkan pelbagai masalah termasuk masalah kewangan, projek tergendala dan juga kecurian, namun semua keadaan itu telah dilaporkan kepada pihak polis dan kini masih dalam siasatan.

Terdahulu, dalam ucapannya, Ahmad Razif berkata Taman Ilmu yang memulakan projek pada 2007 itu adalah simbol pemikiran yang mendahului zamannya kerana pada waktu itu, belum ada satu pun binaan, kompleks atau taman yang seumpama Taman Ilmu di negara ini, manakala contoh yang paling hampir ketika itu ialah Education City di Qatar.

"Idea dan pemikiran Datuk Seri Idris Jusoh sangat luar biasa, iaitu membina satu bandar atau perkampungan yang menempatkan sekurang-kurangnya enam universiti yang berkongsi infrastruktur atau kemudahan yang sama seperti masjid, kompleks sukan, perpustakaan dan auditorium.

"Dengan menjadikan lokasi berdekatan pantai dan pulau-pulau yang cantik sebagai satu lagi daya tarikan, Taman Ilmu ini sebenarnya mampu menzahirkan konsep pelancongan pendidikan dalam erti kata yang sebenar.

"Niat pembinaan Taman Ilmu ini pula sangat murni, iaitu apabila universiti-universiti yang menempatkan kampus mereka di sini berkongsi kemudahan yang sama, maka kos untuk membiayai sebuah universiti dengan sendirinya dapat dikurangkan...saya cukup yakin dan percaya dalam 10 tahun lagi, Taman Ilmu ini akan menjadi katalis kepada pembangunan luar biasa di Terengganu dan Besut khususnya," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS