Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Najib yakin ringgit cecah paras RM3.80 tak lama lagi
Diterbitkan:  Mar 15, 2018 4:34 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yakin ringgit akan meningkat ke paras RM3.80 berbanding dolar Amerika Syarikat dalam jangka masa terdekat ini.

Beliau berkata keyakinan tersebut adalah susulan petunjuk positif daripada pencapaian semasa ekonomi negara serta nilai eksport negara yang melebihi RM80 bilion pada suku pertama tahun ini.

"Nilai mata wang kita semalam turun sikit kepada RM3.90 daripada RM3.89. Saya yakin insya-Allah dalam masa terdekat mungkin ia akan naik kepada RM3.80.

“Dari segi nilai mata wang, kita adalah antara best performance currency (mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik).

“Sebab beberapa bulan yang lalu, ringgit kita berada di paras RM4.49. Tapi lepas ini akan jadi RM3.80 tak lama lagi," katanya semasa berucap pada Program Bajet 2018 Bersama Rakyat - Penjawat Awam, di Kolej Sains Kesihatan Bersekutu, Tanjung Rambutan, dekat Ipoh, hari ini.

Acara tersebut merupakan edisi keempat Program Bajet 2018 Perdana Menteri Bersama Rakyat-Penjawat Awam bagi berkongsi kisah kejayaan negara dan pelbagai polisi kerajaan yang telah dan akan dilakukan.

Bukan calang-calang pengiktirafan

Najib juga berkata berkata penarafan tiga badan antarabangsa iaitu Fitch, Moodys dan Standard & Poors terhadap keupayaan pentadbiran kerajaan baru-baru ini disifatkannya sebagai "bukan calang-calang pengiktirafan".

Jelasnya, ketiga-tiga badan antarabangsa tersebut telah datang sendiri ke negara ini untuk mengkaji secara mendalam daripada segi fakta dan angka sebelum memberi pengiktirafan kategori A kepada Malaysia.

"Negara kita (diberi penarafan) A-, Singapura mungkin tinggi sikit tapi kita dalam kelompok A. Negara Itali (pula) B (penarafan), negara Greece lagi teruk, negara Rusia B.

“Jadi kalau orang kata kita ini akan bankrap, ikut hukum akal kumpulan B akan bankrap dulu. Bagaimana A boleh bankrap dulu daripada B?

"Masa kita lalui Asian Financial Crisis 1997 (Krisis Kewangan Asia 1997), masa itu rizab kita US$20 bilion, masa tu tidak bangkit cerita bankrap. Sekarang US$103 bilion rizab negara (jadi) rizab hari ini sudah lima kali ganda," katanya.

Najib juga berkata nilai pinjaman negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) turut menguncup ketika ini daripada 54 peratus kepada 50.8 peratus.

Pada pukul 9 pagi ini, ringgit berada pada paras 3.9050/9100 berbanding dolar AS daripada 3.9040/9080 sewaktu ditutup pada Rabu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS