Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemandu lori dipenjara 6 bulan cabul guru taska
Diterbitkan:  Mar 15, 2018 5:25 PM
Dikemaskini: 9:27 AM

Seorang pemandu lori yang mencabul guru taska dengan memeluk dan memegang tangan mangsa, dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret, di Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Khairulnisar Che Mat, 34, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditangkap pada 14 Mac lepas.

Tertuduh didakwa telah memeluk dan memegang tangan mangsa berusia 23 tahun, dengan maksud untuk mencabul kehormatan mangsa di dalam sebuah bilik diJalan Gasing, Pantai Dalam, di sini pada jam 9.30 malam, 21 Julai 2016.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau dengan denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan itu.

Ketika rayuan, tertuduh, yang diwakili peguam Norizan Yaacubm memohon hanya hukuman ringan atas alasan dia perlu menjaga ibunya yang mengalami sakit sendi.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal mengambil kira tindakan tertuduh adalah tidak wajar dan tidak bermoral selain mahkamah telah tiga kali mengeluarkan waran tangkap terhadap tertuduh kerana gagal hadir ke mahkamah.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS