Polis menahan seorang ejen hartanah bebas yang didakwa menyamar sebagai pegawai Istana Selangor serta mengeluarkan surat tawaran penganugerahan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor, diShah Alam semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, lelaki berumur 64 tahun itu ditahan di sekitar bandar raya ini, kira-kira 2.15 petang.

“Susulan penahanan itu, suspek kini direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tangkapan itu dibuat susulan laporan polis yang dibuat Dewan Diraja Selangor pada Isnin lepas berhubung sepucuk surat tawaran penganugerahan darjah dan bintang kebesaran negeri Selangor yang membawa gelaran ‘Datuk’ kepada individu bernama Goh Boon Leong.

Siasatan polis mendapati suspek menyamar sebagai Setiausaha Dewan Diraja Selangor yang menawarkan anugerah ‘Datuk’ kononnya daripada Istana Selangor dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan iaitu tipu dengan jalan penyamaran.

Sementara itu, dalam kes berasingan polis turut memberkas seorang lelaki berumur lingkungan 20-an kerana menipu orang ramai dengan menyamar sebagai ejen kenderaan keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), di Selayang dekat Shah Alam, malam tadi.

Mazlan berkata suspek ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor kira-kira jam 11.50 malam.

“Tangkapan itu dibuat susulan pihak polis menerima satu laporan membabitkan penipuan dalam urus niaga jual beli kenderaan jenis Perodua melalui laman sesawang mudah.my, yang mana suspek merupakan pemilik akaun bank dalam laman sesawang itu.

“Dengan tertangkapnya suspek, Polis Selangor percaya dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes tipu menggunakan modus operandi sama di sekitar Selangor, Pahang, Kelantan dan Perak yang membabitkan jumlah kerugian RM36,050,” katanya.

Tambah beliau, suspek direman tiga hari bermula hari ini.

- Bernama