Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
IGP: Polis Australia sahkan pengarah JSJ tak terlibat jenayah

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd pernah ditangguh pengesahan kenaikan pangkatnya sebagai Komisioner Polis (CP) pada 2016 berhubung wang AUD$320,000 (RM971,483) yang didepositkan ke akaun bank miliknya di Australia.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata penangguhan pengesahan pangkat itu dibuat bagi membolehkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menyiasat dari semua sudut berhubung kes berkenaan.

“Wan Ahmad Najmuddin telah ditahan (ditangguh) pengesahan pangkat untuk beberapa tempoh pada 2016 sehingga pihak JIPS selesai memperincikan siasatan berkenaan pada tahun yang sama.

“Hasil siasatan, mendapati proses jual beli rumah berkenaan mempunyai hitam putih dan melalui urusan undang-undang yang sah kemudian barulah beliau disahkan kenaikan pangkat itu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai Kanan Polis di Kuala Lumpur hari ini.

Pada majlis itu seramai 21 pegawai kanan dinaikkan pangkat antaranya Pesuruhjaya Sarawak Datuk Azman Yusof yang dinaikkan pangkat dari Deputi Komisioner Polis (DCP) ke CP.

Turut hadir pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Jabatan Pengurusan PDRM Datuk Seri Abdul Ghafar Rajab.

Ketika ditanya pemberita dakwaan Wan Ahmad Najmuddin (gambar) direhatkan dari menjalankan tugas, Mohamad Fuzi menafikan dakwaan terbabit.

“Dia (Wan Ahmad Najmuddin) tidak dibuktikan bersalah dan kenapa kita perlu hukum dia.

“Saya juga telah berhubung dengan pihak Polis Persekutuan Australia (AFP) dan mereka mengesahkan tidak ada unsur jenayah tetapi transaksi kewangan yang dilakukan itu mempunyai had tertentu dan dia menggunakan pihak ketiga dalam urusan transaksi berkenaan,” katanya.

Pada 2 Mac lepas, akhbar tempatan Australia melaporkan AFP telah membekukan akaun bank milik Wan Ahmad Najmuddin di negara itu, selepas mencurigai kemasukan wang hingga mencapai lebih AUD$320,000.

Siasatan awal JIPS mendapati akaun tersebut pada awalnya dibuka oleh Wan Ahmad Najmuddin pada 2011 bagi memudahkan penyaluran dana pembiayaan pengajian diploma anak lelakinya di Australia, hasil penjualan rumahnya di Shah Alam.

Susulan itu, pada 6 Mac, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan berhubung wang berjumlah AUD$320,000 (RM972,000) dalam sebuah akaun bank dibekukan di Australia milik Wan Ahmad Najmuddin.

-Bernama

Lihat Komen
ADS