Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar ular bomba meninggal dunia setelah 3 hari kritikal
Diterbitkan:  Mar 16, 2018 10:47 AM
Dikemaskini: 2:51 AM

Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang juga penjinak ular terkenal Abu Zarin Hussin, meninggal dunia di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) tengah malam tadi.

Pengarah JBPM negeri, Datuk Abdul Wahab Mat Yassin berkata Abu Zarin yang juga dikenali sebagai Wira Penyelamat meninggal dunia 12.54 tengah malam selepas tiga hari berada dalam kritikal di hospital itu akibat dipatuk ular tedung.

"Jenazah dibawa pulang ke Kampung Permatang Gading, Pasir Putih, Kelantan jam 5 pagi ini oleh kenderaan bomba dan dijangka dikebumikan di tanah perkuburan kampung halamannya itu sebelum zohor hari ini," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abu Zarin, 33, dipindahkan ke unit rawatan rapi (ICU) Hoshas pada 13 Mac lalu dari Hospital Bentong selepas dipatuk ular tedung ketika cuba menangkap reptilia berbisa itu di Bentong.

Allahyarham yang berasal dari Pasir Puteh, Kelantan sudah bertugas lebih 10 tahun sebagai anggota bomba dan pernah berkhidmat di Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah, Pekan dan kini di Temerloh.

Beliau mengetuai Skuad King Cobra JBPM Pahang yang ditubuhkan sejak hujung 2015 sebagai tenaga pengajar bagi melatih anggota pasukan untuk menangkap haiwan berbisa selain mengadakan ceramah dan taklimat kepada orang ramai.

Abu Zarin sudah beberapa kali dipatuk ular termasuk ular tedung selar, malah pernah koma dua hari dan hampir meragut nyawanya apabila dipatuk ular tedung pada 2015.

Beliau juga pernah menyertai pertandingan Asia's Got Talent tahun lalu tetapi gagal melangkah jauh apabila persembahan berbahaya dengan tedung selar gagal menarik perhatian ketiga-tiga juri.

- Bernama

Lihat Komen
ADS