Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
GST tak elok bila Muhyiddin hilang jawatan, sindir Rizal
Diterbitkan:  Mar 16, 2018 11:40 AM
Dikemaskini: 3:50 AM

Pegawai tugas-tugas khas kepada perdana menteri, Datuk Seri Rizal Mansor menyifatkan Tan Sri Muhyiddin sebagai hipokrit apabila mempertahankan manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk menghapuskan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Rizal berkata, Muhyiddin ketika masih masih memegang jawatan timbalan perdana menteri pernah mengatakan GST lebih baik daripada Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dan banyak negara miskin lain turut melaksanakannya.

"Hari ini, orang yang sama cuma pangkat dah hilang entah ke mana bersungguh-sungguh nak cuba hapuskan GST atas alasan kononnya bebankan rakyat, sistem tak elok.

"Soalan saya, apakah GST itu hanya baik, elok kalau Muhyiddin masih kekal TPM dan berubah jadi tak elok hanya kerana beliau dipecat dari Umno?"

"Sudah terang lagi bersuluh, pemimpin seperti ini seorang yang hipokrit, lidah bercabang, tak boleh dipercayai dan hanya menangguk di air yang keruh demi kepentingan politik peribadi, bukan untuk rakyat," kata Rizal di dalam Facebooknya, semalam.

Ketika masih menyandang jawatan timbalan perdana menteri pada 2013 Muhyiddin membidas pembangkang kerana didakwa cuba menakutkan rakyat mengenai pelaksaan GST yang dirancang dua tahun berikutnya.

Muhyiddin berkata, sistem GST lebih berkesan kerana hasil pungutan cukai itu akan disalur kembali kepada rakyat melalui pembangunan dan bantuan lain.

"Mereka kata GST letak rakyat dalam kesusahan, terbeban dengan cukai yang lebih tinggi. Sedangkan pendekatan kerajaan BN adalah untuk mengelakkan rakyat terbeban, banyak barang dikecualikan cukai," kata Muhyiddin.

Bagaimanapun, Muhyiddin yang kini merupakan Presiden Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) pada 11 Mac lalu berkata HARAPAN komited untuk menghapuskan GST, sambil membidas sindiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terhadap manifesto pembangkang.

"Kita tulis secara detail setiap perkara (dalam manifesto), antara lain kita nak hapuskan GST. Dia (Najib) tak setuju itu soal dia, itu hak dia tetapi parti kita komited. Pasal kita tahu GST ini membawa bebanan yang besar kepada rakyat," kata Muhyiddin.

Justeru, Rizal meminta rakyat Malaysia membuka mata dengan 'wayang' HARAPAN menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Sedarlah, mereka bukan tuduh kerajaan rasuah sebab pembangkang benci rasuah tetapi mereka mahu jadi kerajaan kerana mereka juga mahu merasuah seperti yang kita nampak di Pulau Pinang dan Selangor.

"Lagipun, bos Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad pun dah kata, manifesto pembangkang bukan janji yang mesti ditunaikan. Jadi mereka buat manifesto menjanjikan 'bulan dan bintang' dan selepas itu kata tak boleh buat itu dan ini," katanya.

Lihat Komen
ADS