Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Cukup-cukuplah Umno Bachok dengan masalah dalaman'

Umno Bachok diminta menyelesaikan masalah dalaman dan mengambil iktibar daripada pilihan raya umum lalu yang menyaksikan parlimen itu jatuh ke tangan pembangkang.

Ingatan itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi disaksikan ribuan penyokong BN dan pemimpin Umno bahagian termasuk ketuanya, Datuk Dr Awang Adek Hussin.

"Cuma disebabkan sedikit masalah dalaman kita kecundang (PRU lalu) dengan hanya 201 undi.

"Lebih banyak undi rosak daripada undi kita kalah, lebih 900 undi rosak," katanya ketika berucap di Majlis Penyampaian Elaun Sara Hidup Petani dan Nelayan di Pantai Irama, Bachok, hari ini.

Sebagai rekod pada Pilihan Raya Umum 2013, Dr Awang Adek tewas kali kedua kepada calon PAS, setelah memenanginya pada Pilihan Raya Umum 2004.

Ahmad Zahid berkata selain Bachok, BN mensasarkan tiga kerusi dewan undangan negeri iaitu Perupok, Jelawat dan Tawang.

Justeru beliau meminta penyokong BN supaya berhenti bertelagah sesama sendiri.

"Cukup-cukuplah orang Bachok dengan masalah dalaman. Banyak lagi masalah di luar, masalah dalaman mesti diselesaikan dan yang penting kita rampas semula Bachok serta ketiga-tiga kerusi dewan undangan negeri.

"Bachok milik? BN!, Perupok milik? BN!, Jelawat milik? BN!, Tawang milik? BN!. Saya yakin Insya-Allah kita akan menang keempat-keempat kerusi ini," katanya.

Terdahulu, timbalan pengerusi BN turut meluluskan sejumlah peruntukan RM6 juta untuk memenuhi permintaan rakyat Bachok.

Peruntukan itu melibatkan RM2 juta bagi menyiapkan pembinaan masjid, RM2 juta untuk bantuan pembinaan dan baik rumah, RM1 juta bagi pembinaan pejabat persatuan nelayan dan RM0.5 juta keperluan ibu tunggal.

Ahmad Zahid berkata, janji-janji itu akan ditunaikan demi rakyat Kelantan khususnya di Bachok.

"Kali ini saja bagilah peluang, kalau janji-janji ini tidak ditunaikan PRU15 tukar balik.

"Ini bukan soal janji pilihan raya, saya ingatkan bahawa kita sebagai hamba Allah kita harus bersyukur dengan nikmat diberikan.

"Berterima kasih kepada yang memberi, sementara saya diberikan amanah saya kena akur kepada permintaan kawan-kawan saya," katanya yang juga anggota parlimen Bagan Datoh.

 

Lihat Komen
ADS