PRU14: Spekulasi Muhyiddin akan ke Muar
Spekulasi bertiup kencang, gabungan pembangkang Pakatan Harapan (HARAPAN) akan meletakkan beberapa pemimpin utama mereka di kubu-kubu kuat BN pada pilihan raya umum ke-14 akan datang dengan tujuan menumbangkan parti pemerintah itu.
Antara mereka yang disebut-sebut itu adalah Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang diuar-uarkan mungkin tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang dipegangnya dan bakal berpindah ke Muar.
“Dalam tempoh yang tidak lama lagi keputusan itu akan dibuat dan diumumkan dalam program yang dianggap sesuai.
“Saya bersedia di mana-mana sahaja. Saya orang lama, tak ada masalah bertanding di mana-mana pun.
“Tetapi sudah tentu, Pagoh ini kawasan lama, ramai di Pagoh minta saya bertanding, jadi kita ambil kira,” kata kata Muhyiddin pada sidang media di Pagoh, hari ini.
Beliau menambah apa yang penting adalah untuk mencapai kemenangan pada pilihan raya umum akan datang.
Pada PRU13, Muhyiddin, yang ketika itu adalah timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, telah mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh dengan majoriti 12,842 undi, mengalahkan lawannya daripada PAS Mohd Rozali Jamil.
Muar kini dipegang oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Razali Ibrahim yang menang di kerusi itu sejak tiga penggal lalu.
Pihak yang menyokong Muhyiddin bertanding di Muar majoriti kecil yang dimenangi Razali pada PRU lalu, iaitu 1,646 undi, selain peratusan pengundi bukan Melayu yang tinggi akan memberi kelebihan kepadanya.

