Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) hari ini memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat kerosakan Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3 (SSP3) sehingga menyebabakan jutaan pengguna di Lembah Kelang, minggu lalu berdepan dengan gangguan bekalan air.

Sehubungan dengan siasatan itu, Pengerusi SPAN, Datuk Liang Teck Meng berkata Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) diberi tempoh hingga 23 Mac ini untuk menggemukakan laporan audit berhubung kerosakan loji itu.

“Sebelum menjalankan siasatan, kami perlu mendapatkan audit berkenaan terlebih dahulu daripada pihak Splash.

“Selepas itu, siasatan lanjut dilaksanakan bagi merungkai punca kejadian berkenaan sehingga menjejaskan bekalan air di Lembah Klang,” katanya pada sidang media di ibu pejabat SPAN, di Cyberjaya hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Liang meminta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali untuk tidak menunding jari dan terus menyalahkan kerajaan persekutuan dan SPAN berhubung gangguan bekalan air, baru-baru ini.

Katanya, SPAN sejak Januari lalu telah mengenal pasti bahawa berlakunya penurunan paras di LRA SSP3 dan mengarahkan SPLASH untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan.

“SPAN ingin menegaskan tiada sebarang unsur sabotaj dalam perkhidmatan air di Selangor seperti didakwa oleh mana-mana pihak.

“Seperti didakwa kerajaan negeri Selangor bahawa berlakunya pencemaran di salah satu LRA pada dua tahun lalu, akhirnya dakwaan itu tidak benar sama sekali,” katanya.

Terdahulu Datuk Seri Azmin Ali berkata, kerajaan Selangor tidak patut dipersalahkan atas krisis gangguan air di sekitar Lembah Klang sejak Selasa lalu kerana pihaknya sedang mengambil langkah proaktif untuk menangani masalah itu.

Menteri besar berkata, punca krisis air itu berpunca daripada insiden paip pecah semasa proses penyelenggaraan dijalankan di bawah seliaan SPLASH yang masih di bawah bidang kuasa Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Azmin turut menolak dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang kerajaan Selangor tidak pandai menguruskan masalah air.

Sebelum ini bekalan air melibatkan banyak kawasan di sekitar Lembah Klang sejak Selasa minggu lallu dan berlarutan sehingga Ahad lalu. Ini kerana sistem mampatan udara di loji berkenaan pecah dan menyebabkan lima batang paip bersaiz 1,100mm rosak dengan dua daripadanya terpelanting keluar daripada strukturnya sehingga mencederakan beberapa pekerja.

Antara kawasan terjejas adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak, Hulu Selangor dan Kuala Langat.