Proton Holdings Bhd (Proton) yakin dapat mencatatkan peningkatan dari segi skor audit ketika ia giat melakukan persiapan pelancaran model kenderaan utiliti sukan (SUV) pertama yang dijadualkan pada akhir tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Proton berkata usaha penambahbaikan itu diperkenalkan secara berperingkat dengan audit seterusnya dijangka dilaksanakan pada bulan ini.

“Sejak pakatan dengan Geely Holdings diumumkan, Proton telah melalui program penambahbaikan kualiti dengan rakan strategik itu menggunakan sistem penilaian berasaskan kriteria pemarkahan Volvo di peringkat global.

“Pada Disember 2017, satu audit telah dijalankan oleh pihak Geely yang menunjukkan peningkatan ketara tiga kali ganda yang amat bermakna dan menjadi bukti keberkesanan usaha dilaksanakan oleh kedua-dua syarikat," katanya.

Selain itu, Proton merekodkan jualan menyamai 9.6 peratus bahagian daripada keseluruhan pasaran automotif Malaysia pada Februari 2018 dengan majoriti jualan merangkumi model Saga, Persona, Exora dan Iriz.

Menurutnya, model tersebut terus menarik minat kukuh berikutan ciri-ciri seperti reka bentuk, teknologi dan nilainya dari segi wang.

“Bagi memastikan kejayaan pada tahun mendatang, Proton turut memberi tumpuan kepada aktiviti berteraskan inisiatif jualan, pemasaran dan penambahbaikan kualiti.

"Pada masa sama, Proton turut melakukan ujian SUV pertamanya dan merupakan model pertama dibangunkan bersama Geely. Ini seiring usaha ke arah pelancaran SUV berkenaan pada suku keempat kelak," katanya.

- Bernama