Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pembunuhan wartawan siasatan: PM Slovakia letak jawatan
Diterbitkan:  Mar 16, 2018 2:59 PM
Dikemaskini: 7:03 AM

GLOBAL l Perdana Menteri Slovakia, Robert Fico, meletak jawatan pada hari Khamis selepas berdepan krisis selama dua minggu susulan pembunuhan seorang wartawan siasatan dan teman wanitanya bulan lepas, lapor agensi berita China Xinhua.

Fico menyerahkan surat peletakan jawatan beliau kepada Presiden Andrej Kiska, menurut agensi berita tempatan.

Kerajaan gabungan yang dipimpin Parti Demokratik Sosial (Smer-SD) turut mengundurkan diri namun para menteri akan menyandang jawatan masing-masing sehingga kabinet baharu dilantik.

Fico, 53, akan kekal sebagai pengerusi Smer SD.

Presiden Kiska telah menugaskan Timbalan Perdana Menteri, Peter Pellegrini, untuk menubuhkan satu kerajaan baharu.

Terdahulu, Pellegrini telah mengemukakan tandatangan 79 anggota parlimen yang menyokong pembentukan kerajaan baharu kepada Presiden Kiska.

Wartawan siasatan, Jan Kuciak, dan teman wanita beliau, Martina Kusnirova, masing-masing berusia 27 tahun, telah ditemui mati ditembak di rumahnya yang terletak di barat Slovakia pada 26 Feb.

Kuciak dikatakan sedang menyiasat kes penipuan membabitkan ahli perniagaan yang mempunyai hubungan dengan ahli politik.

Pembunuhan pasangan itu telah menyebabkan dua menteri meletak jawatan.

Menteri Kebudayaan, Marek Madaric, meletak jawatan pada 28 Feb manakala Menteri Dalam Negeri, Robert Kalinak, meletak jawatan seminggu kemudian.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS