Najib satu-satunya pemimpin ASEAN berucap di sidang cegah keganasan
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyampaikan ucaptama pada majlis penutup Persidangan Pencegahan Keganasan yang diadakan sempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia di Sydney.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Ramlan Ibrahim berkata Perdana Menteri merupakan satu-satunya pemimpin ASEAN yang dijemput untuk menyampaikan ucapan pada majlis penutup itu pada Sabtu, selain daripada Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull.
“Ini merupakan pengiktirafan, keistimewaan yang besar dan mencerminkan kewibawaan serta kepimpinan beliau (Najib) dalam mengetengahkan isu-isu berkaitan pencegahan keganasan di peringkat serantau.
“Beliau dilihat sebagai seorang pemimpin yang mempunyai pendirian tegas selain strategi Malaysia yang memberi keyakinan kepada Australia untuk menjemput beliau bagi memberikan wawasan dan pendekatan terbaik untuk memenangi isu berdasar pengalaman yang kita lalui dan pendekatan yang telah kita ambil,” katanya pada sidang media di sini Jumaat.
Beliau berkata perdana menteri akan mengetuai delegasi Malaysia ke sidang kemuncak khas itu yang diadakan pada hari Sabtu dan Ahad, dan sebelum sidang kemuncak itu bermula, pada sebelah pagi perdana menteri akan mengadakan pertemuan dua hala dengan Turnbull.
Katanya antara isu-isu yang akan dibincangkan adalah kerjasama pertahanan, pendidikan, perdagangan dan pelaburan.
“Perbincangan akan memfokuskan kepada kemantapan hubungan dua hala sedia ada. Kita dah gerakkan hubungan Malaysia-Australia ke arah perkongsian strategik. Kita dapat lihat dalam bidang-bidang kerjasama yang boleh dimantapkan dalam konteks hubungan strategik dua hala khususnya dalam isu-isu perdagangan, pelaburan, pendidikan dan kerjasama peringkat serantau bagi menggemblengkan usaha membanteras keganasan,” katanya.
Ramlan berkata selepas pertemuan itu, program pertama Najib di sidang kemuncak khas itu adalah majlis perasmian yang akan disempurnakan oleh Turnbull.
“Ia diikuti dengan majlis minum petang Pelan Colombo baharu yang diadakan bagi memberi peluang kepada ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN untuk bersuai mesra dengan pelajar-pelajar Australia yang telah melanjutkan pelajaran di bawah pelan itu.
Kemudian, semua ketua negara/kerajaan akan menghadiri majlis penutupan Persidangan Pencegahan Keganasan dan menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) antara ASEAN dan kerajaan Australia dalam Kerjasama Mencegah Keganasan Antarabangsa. Setiausaha Agung ASEAN akan menandatanganinya bagi pihak ASEAN, disaksikan pemimpin-pemimpin negara ASEAN,” katanya.
Ramlan berkata sidang kemuncak itu penting kerana berupaya meningkatkan hubungan dialog ASEAN-Australia.
“ Pemimpin-pemimpin ASEAN dan Australia akan memperakukan “Deklarasi Sydney Sempena Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia. Deklarasi tersebut disasarkan untuk meningkatkan kerjasama antara ASEAN dan Australia dalam semua bidang terutamanya dalam kesalinghubungan serantau, perdagangan, perniagaan, memerangi keganasan dan meningkatkan kesalingan hubungan manusia untuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
“ Deklarasi ini juga akan memperkukuhkan hubungan persahabatan jangka panjang ASEAN-Australia berdasarkan nilai dan kepentingan bersama. Isu-isu berkaitan hubungan dialog ASEAN dan Australia juga telah diperhalusi di peringkat menteri-menteri luar bagi tujuan memuktamadkan dan mengetengahkan kepentingan negara,” kata Ramlan.
Beliau berkata sidang kemuncak ini juga berperanan sebagai platform yang ideal bagi para pemimpin untuk bertukar-tukar pandangan secara rasmi dan tidak rasmi, khususnya mengenai hala tuju masa depan kerjasama ASEAN-Australia, pencegahan keganasan serantau, kestabilan maritim dan serantau, selain usaha menggandakan kerjasama ekonomi ASEAN-Australia.
“ MoU dalam Kerjasama Membanteras Keganasan Antarabangsa akan menjadi satu panduan kepada usaha-usaha membanteras keganasan antarabangsa melalui pelbagai mekanisme sekali gus meningkatkan kecekapan pihak penguatkuasaan antara kerajaan dalam menangani dan mencegah keganasan antarabangsa,” katanya.
Katanya sidang kemuncak khas itu turut menggalakkan interaksi antara ahli-ahli perniagaan dalam usaha-usaha meningkatkan kerjasama perniagaan antara syarikat-syarikat swasta.
- Bernama

