Bekas presiden MCA gagal batal saman Najib
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menolak permohonan bekas Presiden MCA Tun Dr Ling Liong Sik untuk membatalkan saman fitnah yang difailkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Hakim Datuk Nor Bee Arifin berkata dakwaan Ling bahawa berlaku penyalahgunaan dana syarikat pelaburan kerajaan, 1MDB bagi tujuan peribadi perlu dibicarakan.
Beliau juga mengarahkan Ling membayar kos RM5,000.
Pada 27 Oktober 2015, Najib memfailkan saman tersebut rentetan kenyataan Ling dalam akhbar Malay Mail bertajuk MCA’s Liong Sik joins call for Najib’s ouster for allegedly putting people’s money in his own pocket.
Najib selaku pihak plaintif menyatakan, Ling telah secara palsu dan berniat jahat mengeluarkan kenyataan memintanya supaya meletak jawatan semasa menghadiri satu upacara di sebuah kolej universiti diKuala Lumpur yang disiarkan dalam portal berita pada 3 Oktober 2014.
Ling menurut pihak plaintif, didakwa membuat pernyataan berbaur fitnah itu dengan berniat jahat supaya plaintif berada dalam kancah skandal, dipandang hina dan kebencian.

