‘PAS berpotensi menang di Arau, Kangar, Padang Besar’
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli yakin partinya mampu menawan semua tiga kerusi Parlimen dan lapan daripada 15 kerusi DUN di negeri itu menjelang pilihan raya umum ke-14 akan datang.
“Terdapat berapa kawasan di Arau, Kangar dan Padang Besar, kita lihat berpontensi dimenangi oleh PAS.
“Apa pun PAS akan terus mempertingkatkan usaha dalam menghadapi pilihan raya yang dijangka semakin hampir,” katanya yang dipetik oleh portal Utusan Malaysia, hari ini.
Mohd Shukri berkata, PAS akan meletakkan calon di semua kerusi Parlimen dan DUN termasuk di kawasan Indera Kayangan yang dimenangi oleh PKR pada pilihan raya 2013 lalu.
Beliau juga dipetik sebagai berkata, AMANAH dan BERSATU tidak berupaya memberi saingan kepada mereka, memandangkan kedua-dua parti serpihan itu langsung tidak mempunyai kekuatan khususnya di peringkat akar umbi.
“Kita sudah bersiap-sedia termasuk dengan kekuatan jentera dalam menghadapi PRU-14.
“Kali ini, saya lihat saingan hanya tertumpu kepada PAS dan BN manakala AMANAH dan BERSATU tidak begitu ketara sangat,” katanya sambil mengakui parti itu menjangkakan saingan sengit di kebanyakan kawasan.
Mengulas lanjut, Mohd Shukri yang juga ADUN Sanglang berkata, setakat ini, senarai calon PAS di Perlis masih belum dimuktamadkan sepenuhnya dan perkara itu dijangka selesai dalam tempoh terdekat.
Pada PRU13 lalu, BN menang di semua ketiga-tiga kerusi parlimen Perlis manakala bagi kerusi DUN pula kerusi tunggal PAS dimenangi oleh Mohd Shukri.

