Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: IPD Tanah Merah RM200 juta jika BN menang besar

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menjanjikan sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di Tanah Merah bernilai RM200 juta sebagai hadiah kepada pengundi di parlimen itu.

Bagaimanapun katanya, janji itu hanya akan ditunaikan jika BN menang kesemua dewan undangan negeri (DUN) di kawasan tersebut termasuk peningkatan 100 peratus majoriti undi peringkat parlimen.

"Sebagai menteri dalam negeri, permintaan untuk IPD bernilai RM200 juta saya (akan) luluskan dengan syarat.

"Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ketiga-tiga DUN menang dan majoriti undi parlimen mesti naik 100 peratus, " katanya ketika berucap di Karnival Himpunan Rakyat Tanah Merah, Kelantan, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Umno Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Pada PRU lalu, BN berjaya merampas kembali parlimen Tanah Merah dengan mempertaruhkan Ikmal Hisham yang menewaskan calon PKR, Nik Mahmood Nik Hassan dan calon bebas, Ahmad Fizal Che Harun dengan majoriti 4,227 undi.

Selain parlimen, BN turut menang di DUN Gual Ipoh walaupun tewas di DUN Kemahang dan Bukit Panau.

Ahmad Zahid yang juga timbalan pengerusi BN berkata, beliau akan kembali ke Tanah Merah seminggu selepas PRU14 nanti bagi menunaikan janjinya.

"Saya akan tengok keputusan, jika keputusan menang semua saya akan umumkan RM200 juta untuk IPD Tanah Merah," katanya.

RM743 juta sejak PRU lalu

Zahid berkata, sejak BN berjaya mengambil alih parlimen Tanah Merah pada pilihan raya lalu, kerajaan memperuntukan RM743.75 juta bagi pembangunan di parlimen itu.

"Beruntung rakyat di sini kerana (mengangkat) Datuk Seri Ikmal Hisham sebagai ahli parlimen. Kerana beliau kalau mengikut prestasi, seorang ahli parlimen berprestasi tinggi, bukan ahli parlimen paling banyak minta projek.

"Ahli parlimen yang sebelum bulan puasa dah bagi baju raya, kalah saya. Kalau ini yang harus kita dukung, maka rugilah Tanah Merah kalau tak undi beliau," katanya.

Terdahulu, beliau turut meluluskan peruntukan khas sebanyak RM10 juta bagi membiayai projek baik pulih masjid, surau, rumah ibadat serta kediaman rakyat selain bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) khusus untuk parlimen Tanah Merah dan Jeli.

Ahmad Zahid berkata, peruntukan itu bukti kecaknaan kerajaan BN terhadap rakyat pelbagai kaum serta penghargaan kepada penduduk di parlimen ini dan Jeli yang sentiasa memberi sokongan padu kepada BN dan Umno.

"Kerajaan sering dituduh bankrap oleh pembangkang. Hakikatnya kita tidak bankrap dan peruntukan demi peruntukan diluluskan untuk pembangunan dan kebajikan rakyat ini adalah bukti bahawa kita tidak bankrap.

"Diharap PRU14 nanti, BN bukan sahaja berjaya mengekalkan Tanah Merah dan Jeli, malah dapat menaikkan majoriti serta menang di keenam-enam DUN di Tanah Merah dan Jeli," tambah beliau.

Lihat Komen
ADS