Wartawan jelita intai peluang jadi presiden Rusia
GLOBAL | Seorang wartawan penyiaran dan pelakon adalah antara pencabar Vladimir Putin untuk jawatan presiden Rusia dalam pilihan raya negara itu Ahad ini.
Ksenia Sobchak disahkan menjadi calon jawatan presiden selepas pertubuhannya, Parti Inisiatif Sivil, didaftar dan diberi kebenaran menyertai pilihan raya berkenaan.
Pengumuman berkenaan disampaikan dalam rapat umum parti itu yang diadakan di sebuah stadium di Moscow petang tadi.
Enam calon lain yang mencuba nasib ialah Pavel Grudinin, 57, Vladimir Zhirinovsky, 71, Sergey Baburin, 59, Grigory Yavlinsky, 65, Boris Titov, 57, dan Maxim Suraykin, 39.
Dalam kenyataannya kepada media, Ksenia, 36, berkata dia menubuhkan Parti Inisiatif Sivil bersama seorang anak bekas pegawai perkhidmatan rahsia Russia, KGB, serta bekas pembangkang.
"Kami menawarkan perubahan untuk benar-benar membawa perubahan," katanya.

Walaupun masih muda Ksenia boleh dikatakan menjadi 'ahli politil' sejak dalam kandungan lagi.
Ibu dan bapanya memang terlibat dalam politik. Bapanya, Anatoly Sobchak, bekas Datuk Bandar St Petersburg, manakala ibunya Lyudmila Narusova bekas senator.
Secara langsung Sobchak adalah antara watak yang memulakan laluan awal untuk Putin bergerak dalam politik sebelum menjadi presiden.
Al Jazeera menyatakan Putin pernah bekerja sebagai pembantu Sobchak selama 10 tahun.
Bagaimanapun dengan keadaan politik di Russia, tidak dapat dilihat bagaimana Ksenia mampu memperoleh sokongan majoriti rakyat negara itu.
Melalui pusingan pertama pilihan raya presiden itu seseorang calon mesti mendapat lebih daripada separuh undi keseluruhan untuk diisytiharkan sebagai pemenang.
Kegagalan mendapat majoriti mutlak akan membawa kepada pemilihan pusingan kedua yang akan dilangsungkan pada 8 April ini.
Jika menang, Putin akan menjadi presiden Rusia untuk penggal kedua berturut-turut, atau empat penggal secara keseluruhan.
Kebiasaannya Putin memenangi pilihan raya itu dengan mendapat lebih 40 peratus undi.

