Dalam satu wawancara Jumaat lalu, Menteri Dalam Negeri Horst Seehofer yang baru menjawat jawatannya dalam kabinet Angela Merkel berkata Islam bukan sebahagian daripada Jerman dan telah menetapkan dasar imigresen yang tegas sebagai langkahnya dalam berdepan pencabarnya.

Seehofer memberitahu media dalam wawancara pertamanya sejak menjawat jawatannya bahawa dia akan menggesa "rancangan utama untuk pengusiran yang lebih cepat".

Menteri itu berkata dia juga akan mengkelaskan lebih banyak negara sebagai 'selamat', yang akan memudahkan pengusiran pemohon suaka yang gagal.

Kenyataan itu dibuat selepas sekutu konservatif Merkel, Parti Demokrat Sosial kalah kepada parti Alternatif Untuk Jerman (AFD) yang bersikap antiimigran dalam pilihan raya tahun lalu.

Seehofer dilihat ingin menunjukkan bahawa partinya sedang mengatasi isu imigresen menjelang pilihan raya wilayah Bavaria pada Oktober depan dengan AFD dijangka bertanding di wilayah itu.

"Islam bukan sebahagian daripada Jerman," kata Seehofer yang bercanggah dengan bekas presiden Jerman Christian Wulff yang mencetuskan debat berhubung imigresen pada 2010 dengan berkata Islam adalah sebahagian daripada Jerman.

Pada 2015 Merkel mengulangi kata-kata Wulf pada satu ketika apabila kumpulan kempen antiimigresen Patriotic Europeans Against the Islamisation of the West (PEGIDA) mengadakan protes.

"Sudah tentu, orang Muslim yang tinggal di sini adalah sebahagian daripada Jerman," kata Seehofer sebelum menegaskan Jerman tidak seharusnya melupakan tradisi dan budayanya sendiri yang pada terasnya menurut menteri itu berasaskan Kristian.

"Pesan saya: Orang Muslim perlu hidup bersama kami, bukan sebelah kami atau menentang kami," katanya.

[Baca berita penuh]