Paling Popular
Terkini

PAS mengesahkan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) tidak diperuntukan sebarang kerusi di Kelantan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti. 

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, semua kerusi di negeri itu akan ditanding PAS dalam usaha mempertahankan pemerintahan mereka di negeri itu. 

"Setakat ini tak ada, mereka (IKATAN) pun sebenarnya tidak berminat sangat untuk bertanding. 

"Mereka (hanya) membantu untuk PAS menang. Kalau bertanding pun (di negeri lain) hanya satu ke dua kerusi, " katanya kepada media selepas program Bangkit Pertahan Kelantan di Padang Perdana, Kota Bharu, malam tadi. 

Hadir sama Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Menteri Besar Kelantan,  Datuk Ahmad Yakob, exco-exco kerajaan negeri serta barisan kepimpinan PAS Kelantan. 

Sementara itu, PAS turut mengulangi pendirian sekurang-kurangnya menjadi 'king maker' (penentu) pada PRU14.

Abdul Hadi berkata, bagi mencapai sasaran itu, parti itu perlu memperoleh sekurang-kurangnya memperoleh kemenangan 40 kerusi Parlimen.

Menurut beliau, sekiranya perkara itu berlaku mereka boleh menentukan syarat bersesuaian untuk membentuk kerajaan.

"Dengan keyakinan, Insya-Allah, kita akan memperoleh simple majoriy (majoriti mudah) sekali gus memerintah negara.

"Ataupun memperoleh kerusi (Parlimen) 40, 50, 60 kerusi boleh menjadikan kita 'king maker', semua parti tidak boleh tubuhkan kerajaan dan masa itu kita boleh letakkan syarat yang kita mahu.

"Untuk mencapainya maka Kelantan mesti dipertahankan, perjuangan kita bukan Kelantan sahaja, perjuangan kita membabitkan seluruh negara," katanya.

Dalam ucapannya, Hadi turut menggambarkan parti bersama DAP sebagai 'lembu kenyang' kerana dilihat tidak berani pertahankan Islam.

"DAP terang-terangan menyatakan penentangan terhadap Islam, tidak setuju dengan Islam.

"Parti bersama DAP jadi macam 'lembu kenyang', tidak berani nak pertahankan Islam," katanya.

Lihat Komen
ADS