Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq sedia beri laluan pada Muhyiddin di Muar

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersedia memberi laluan kepada presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bertanding di Muar, meskipun beliau sendiri sedang mengintai kawasan berkenaan.

"Kalau Tan Sri bertanding Pagoh atau Muar saya akan sokong 100 peratus dan pastikan Tan Sri menang," kata Syed Saddiq, 26 kepada Malaysiakini ketika ditemui di Muar semalam.

Muhyiddin pada sidang akhbar semalam berkata beliau akan mengumumkan keputusan sama ada akan mempertahankan kerusi parlimen Pagoh atau berpindah ke Muar tidak lama lagi.

Syed Saddiq berkata pengaruh presiden BERSATU itu tidak terbatas kepada hanya satu kawasan, dan jika Muhyiddin bertanding di Muar, pengaruhnya masih dapat dirasakan di Pagoh.

Bagi dirinya sendiri, Syed Saddiq berkata beliau bersedia bertanding di mana-mana kerusi, asalkan di Johor.

"Ini kerana Johor adalah kubu kuat Umno. We must unlock (kita mesti membuka kunci) untuk kita bersama masuk ke Putrajaya," katanya.

Syed Saddiq giat turun padang di Muar dan mengadakan program bersama ketua wanita AMANAH Johor, Norhayati Bachok dan Pemuda PKR, Naim Jusri.

Kedua-duanya dijangka bertanding di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Maharani dan Sungai Balang di Muar.

Pada masa ini kerusi Muar disandang oleh anggota parlimen Umno, Datuk Razali Ibrahim, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Razali menang kerusi itu dengan majoriti 1,656 undi dan peratusan pengundi bukan Melayu yang tinggi di kawasan itu dilihat memberikan kelebihan kepada Muhyiddin.

Walau bagaimanapun, ramai anggota akar umbi BERSATU di Johor mahukan Muhyiddin kekal di Pagoh dan bertanding di kerusi DUN Jorak.

Lihat Komen
ADS