Barisan Nasional (BN) Johor sentiasa bersedia mempertahankan empat kerusi Parlimen dimiliki MCA iaitu Ayer Hitam, Tebrau, Labis dan Tanjung Piai pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pengerusi BN Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata semua parti komponen BN akan memastikan kesemua kerusi berkenaan tidak akan jatuh kepada pihak pembangkang khususnya DAP.
"Jentera BN khususnya Umno sudah bersiap siaga bagi menghadapi parti berkenaan (DAP), ditambah dengan sokongan kuat Umno kepada calon-calon MCA. Apa yang dijangkakan oleh Invoke (badan pemikir PKR) bukan sesuatu yang mudah untuk mereka (DAP) capai.
"Kita yakin dan pasti bukan sahaja BN akan menang tetapi Umno sebagai parti utama dalam BN juga akan memastikan MCA mempertahankan kerusi berkenaan dan menang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasar Muafakat Sabah bernilai RM2.1 juta, di Johor Bahru hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian mengulas mengenai jangkaan Invoke yang membayangkan MCA menjadi parti paling terjejas di Johor pada PRU14 serta gagal mempertahankan kerusi Parlimen Labis, Tanjung Piai dan Tebrau.
Sementara itu, mengenai Pasar Muafakat Sabah di Jalan Suria 66, Bandar Seri Alam, dekat Masai itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata ia dapat memberi manfaat kepada rakyat khususnya kira-kira 20,000 masyarakat Sabah di sekitar Masai dan Pasir Gudang.
Beliau berkata pasar yang dibina dengan peruntukan RM1.1 juta daripada kerajaan negeri dan RM1 juta daripada Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) itu menempatkan 40 unit kedai termasuk 15 unit kedai peniaga daripada masyarakat Sabah.
"Pembinaan pasar ini membuktikan kerajaan negeri sentiasa menerima kehadiran sesiapa sahaja yang ada di Johor yang turut sama-sama menyumbang kepada kemajuan di negeri ini," katanya.
- Bernama